|
Judul : Rindu Seorang Rafik Pengarang : Nisah Haron Penerbit : Al-Ameen Serve Holdings Sdn Bhd Genre : Kumpulan Cerpen Mukasurat :144 halaman Cetakan Pertama : 2011 ISBN : 9789673620739
Kandungan
Sayap-sayap Kecil di Graha Jentayu Impian Tsu-Ryi Impian Tsu-Ryi 2 Minta Secawan Kopi Tenom Sepaun Daging Hutang Di Bawah Lindungan Hudaibiyah Rindu Seorang Rafik Ziarah Izrail Pusaka Cendana Antara Dua Pusara Citra Mukhlisah Fatamorgana Akhir Musim Yuda Resipi Dari Istana Resipi Dari Istana 2 Resipi Dari Istana 3 Lemang Nan Sebatang
Inspirasi
dan Cetusan Idea
Pengarang seringkali akan ditanya dari mana mendapat
idea, sedangkan ilham dan idea ini sesuatu yang misteri dan pada saya semuanya
urusan di langit. Adakalanya ilham hadir tanpa dipinta. Paling penting bukanlah
idea itu sendiri, tetapi bagaimana pengarang mengolah sesuatu idea menjadi
sebuah karya yang baik untuk dihidangkan kepada pembacanya.
Cerpen “Rindu Seorang Rafik” yang menjadi judul kumpulan
cerpen saya yang keempat ini terhasil kerana terkesan dengan peristiwa Pulau
Batu Putih yang menjadi rebutan. Cerpen ini ditulis ketika kes ini belum lagi
didengar di Mahkamah Keadilan Antarabangsa, The Hague. Saya membayangkan bagaimana dua
orang sahabat yang berselisih pendapat itu ibarat dua buah negara yang
mengalami keadaan yang sama.
Perjalanan ke daerah pedalaman Sabah
telah menghasilkan “Minta Secawan Kopi Tenom”. Selain terkenal dengan kopinya
yang lemak-lemak manis, Tenom juga sebuah daerah yang kaya dengan alam
semulajadi dan mampu menjadi tempat yang menginspirasikan. Separuh daripada
cerpen ini terhasil sewaktu berada di dalam penerbangan pulang dari Kota
Kinabalu ke Kuala Lumpur.
Ikatan kekeluargaan dan rasa cinta terhadap tempat
tumpah darah telah membuatkan saya mahu mengabadikannya di dalam karya.
Hasilnya ialah “Pusaka Cendana” yang mengangkat tentang lagu tradisional Bongai
yang semakin dilupakan dan “Lemang Nan Sebatang” tentang falsafah yang
terkandung di sebalik makanan tradisi yang bukan sahaja terkenal di Negeri
Sembilan kini. Lebih manis lagi apabila kedua-dua cerpen ini telah memenangi
Hadiah Sastera Perdana Malaysia.
Sebagai mantan peguam, masih ada banyak isu perundangan
yang berlegar-legar di fikiran. Tugas saya untuk mendidik masyarakat mengenai
undang-undang melalui karya masih lagi belum selesai. Setakat yang termampu,
saya cuba melakukannya di dalam karya-karya saya seperti “Ziarah Izrail”,
“Kasih di Pintu Rahim” dan “Antara Dua Pusara”.
“Di Bawah Lindungan Hudaibiyah” pula ialah cetusan yang
saya peroleh setelah membaca blog seorang sahabat dan pengalaman beliau menjadi
imam di sebuah masjid di Asakusa, Jepun dan bagaimana isterinya berperanan
menjadi pembimbing kepada mualaf di sana.
Pengalaman menikahkan pasangan di dalam bahasa Jepun adalah sesuatu yang
menarik dan dalam kerancakan belia Jepun dikatakan mengalami keruntuhan moral,
masih ramai yang mahu mendekati Islam; sedangkan di tanah air kita tidak kurang
pula jumlah yang meninggalkan ajaran Islam yang sebenar.
Akibat rasa jengkel yang luar biasa terhadap beberapa
institusi, saya tidak mungkin dapat meluahkan perasaan itu secara langsung.
Lalu, saya hasilkan cerpen-cerpen berbentuk satira yang diwakili oleh tukang
masak @ chef sebagai pembawa mesej. Siri cerpen “Resipi Dari Istana” ialah rasa
kurang puas hati saya yang harus diselongkar makna yang tersirat.
Selebihnya, terpulanglah kepada pembaca untuk menilai
apa yang terkandung di dalam mana-mana cerpen di dalam kumpulan ini. Pengarang
hanya menghantar mesej kepada pembaca. Tafsiran dan tanggapan terhadap karya
adalah hak pembaca.
Nisah Haron
Ampangan,
Seremban
1 Disember 2010
|