|
Judul : Dirgahayu Dr. Mahathir Dan Kepada Pemimpin Yang Itu Pengarang : A Samad Said Penerbit : Wira Bukit Genre : Kumpulan Puisi Mukasurat : 88 halaman Cetakan Pertama : 2004 ISBN : 9834119615
"Kau pengingat bangsamu yang sering benar pelupa; penyedar satu perjuangan yang belum selesai; juga penghayat tanah airmu yang sungguh damai. Kau sempat menjadikan ramai manusia gigih, di alaf damai, mereka menyemai benih ilmu; di musim permai, mereka membisik kasih syahdu. Kau gelorakan kejutan yang sebesar-besarnya dan mendorong rakyat menjerit "boleh" segalanya! Kutahu, kau sentiasa benci kerja yang bebal, lebih kau sanjung tiap pencapaian yang global."
- Dirgahayu Dr. Mahathir -
Terkadang sesuatu peristiwa besar dalam negara cepat merangsang seseorang seniman merakamkannya. Selalunya rakaman itu tidaklah semudah dijangka. Begitulah yang berlaku kepada dua buah puisi yang tercipta pada dua waktu berbeda yang mencatat detik peralihan kuasa politik tanah air. Puisi-puisi ini (yang sebuah ditulis pada abad ke-20 dan sebuah lagi pada abad ke-21) ternyata amat sokong menyokong sehingga kata-kata turut sempat meninggalkan kuasa magisnya.
Tidak tersangka bahawa Tun Dr. Mahathir Mohamad hampir secara mendadak melepaskan tampuk kuasa tertinggi tanah air. Tidak juga terduga bahawa Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang bakal meneruskan tanggungjawab besar itu.
Dua puisi ini barangkali menjadi amat penting kerana kesempatannya memasuki dan merakam keharuan dan hati nurani dua orang pemimpin yang melalui satu fasa peralihan kuasa itu.
Seiring dengan proses peralihan kuasa itu turut juga terakam proses penciptaan puisi "Dirgahayu Dr. Mahathir", satu-satunya rakaman seni yang amat berguna kepada dunia sastera Malaysia. Mudah-mudahan, catatan kreatif ini dapat turut sama memasuki sejarah politik negara secara membina.
|