|
Judul : Meteorologi Pengarang : Shaharuddin Ahmad Penerbit :Penerbit UKM Genre : Geografi Mukasurat : 382 halaman Cetakan Pertama : 2006 ISBN : 9679427722
Meteorologi bermaksud mengkaji sifat atmosfera dan proses yang menentukan dan mencorakkan fenomena cuaca dan iklim. Buku ini sesuai dalam usaha memberikan huraian dan penjelasan tentang asas-asas persekitaran atmosfera khasnya di peringkat rendah. Buku ini mampu membibit dan merangsang mereka yang berminat untuk terus mempelajari disiplin meteorologi. Maklumat dan fakta berkait dengan proses dan konsep asas atmosfera bumi, boleh mewujudkan perasaan pembaca untuk menghargai planet bumi ini sebagai tempat tinggal yang tidak seharusnya di ‘ceroboh’ dengan melakukan sesuatu yang boleh merubah dan merosakkannya. Dalam bab pertama dijelaskan maksud dan sifat-sifat yang membentuk dan melahirkan lapisan atmosfera peringkat rendah.
Di samping itu, disentuh juga struktur dan evolusi lapisan tersebut berasaskan beberapa parameter cuaca yang penting seperti profil suhu dan angin. Faktor utama yang membentuk semua parameter iklim dan cuaca sehingga menjadi faktor penggerak di lapisan sempadan atmosfera peringkat rendah iaitu bahang dihuraikan dan diterangkan di dalam bab kedua. Sifat dan kesan penerimaan bahang di lapisan atmosfera peringkat rendah dan di permukaan bumi dijelaskan mengikut musim dan harian. Di dalam bab ini disentuh juga bajet bahang permukaan, bahang bersih dan kesan-kesannya terhadap manusia.
Antara aspek penting yang berkait dengan suhu ialah sifat taburan suhu yang berbeza secara mendatar dan faktor-faktor penentuannya. Selain itu, dijelaskan juga faktor litupan awan dan pengaruh albedo terhadap taburan suhu. Beberapa indeks tenaga haba yang digunakan dalam menentukan sifat keselesaan persekitaran dijelaskan juga di dalam bab ini seperti hari darjah pemanasan dan pendinginan serta indeks haba.
SHAHARUDDIN AHMAD, Ph. D., Profesor di Pusat Pengajian Sosial, Pembangunan dan Persekitaran, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia. Bidang kepakaran beliau ialah Kaji Iklim, Kaji Iklim Gunaan dan Geografi Perubatan. Buku beliau sebelum ini berjudul Pengantar Sains Atmosfera (2001) dan Statistik Lanjutan untuk Geografi dan Bidang Berkaitan (2006).
Kandungan
Jadual dan Rajah Simbol dan Singkatan Pendahuluan Prakata
BAB 1 Lapisan Atmosfera Peringkat Rendah BAB 2 Bahang BAB 3 Suhu dan Haba BAB 4 Imbangan Tenaga Permukaan, Atmosfera dan Fenomena Cuaca BAB 5 Dinamik Atmosfera BAB 6 Air, Kelembapan dan Kestabilan BAB 7 Pembentukan Awan dan Kerpasan BAB 8 Perubahan Iklim
Lampiran Glosari Rujukan Indeks
|