0 kuantiti
Total Price:RM0.00

Jabatan Di APM, UM

Kegiatan utama APM terbahagi kepada dua bahagian iaitu Bahagian Pengijazahan dan Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan. Setiap bahagian pula mempunyai jabatan-jabatannya sendiri.
Jabatan-jabatan dalam Bahagian Pengijazahan ialah::
Jabatan Bahasa Melayu
Jabatan Sosio-Budaya Melayu
Jabatan Linguistik Melayu
Jabatan Kesusasteraan Melayu
Jabatan Kesenian Melayu

Jabatan-jabatan dalam Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan ialah:
Jabatan Penyelidikan,
Jabatan Dokumentasi
Jabatan Penerbitan.


Pada masa ini terdapat lima Jabatan Pengajian Pengijazahan yang mengendalikan kursus-kursus pada peringkat ijazah dasar iaitu :

 1. Jabatan Bahasa Melayu
 2.Jabatan Sosio-Budaya Melayu
 3. Jabatan Linguistik Melayu
 4. Jabatan Kesusasteraan Melayu
 5. Jabatan Kesenian Melayu
 6. Jabatan Penyelidikan
 7. Jabatan Dokumentasi
 8. Jabatan Penerbitan

 


Jabatan Bahasa Melayu

Jabatan Bahasa Melayu menyediakan kursus-kursus yang lebih menumpukan pengajian kepada korpus bahasa Melayu baku iaitu tentang tatabahasa normatif bahasa Melayu, bahasa Melayu lisan, statistik bahasa Melayu, sejarah perkembangan bahasa Melayu, peristilahan bahasa Melayu, laras bahasa Melayu, pemaknaan bahasa Melayu, tatabahasa wacana bahasa Melayu, pengajaran bahasa Melayu, perkamusan bahasa Melayu, bahasa Melayu dan masyarakat, kesantunan bahasa Melayu dan keanekaan bahasa Melayu.

Jabatan Sosio-Budaya Melayu

Jabatan Sosio-Budaya Melayu menumpukan pengajian kepada masyarakat dan budaya Melayu iaitu tentang etnografi Melayu, teori kajian masyarakat dan budaya, kekeluargaan, agama dan kepercayaan, perubatan dan kesihatan, hukum adat, pemikiran masyarakat Melayu dalam era globalisasi, budaya popular Melayu, seni budaya Melayu, politik dan ekonomi Melayu, identiti Melayu, gender, masyarakat dan budaya, organisasi dan proses-proses sosial, hubungan etnik dan warga tua dalam masyarakat Melayu.

Jabatan Linguistik Melayu

Jabatan Linguistik Melayu menumpukan pengajian kepada disiplin linguistik global dan bahasa-bahasa serumpun Melayu yang terdapat di alam Melayu iaitu tentang pengantar linguistik dengan tumpuan kepada bahasa-bahasa Austronesia, sejarah linguistik, fonologi, sosiolinguistik, morfologi, sintaksis, linguistik sejarah dan bandingan Austronesia, perancangan bahasa, dialektologi, leksikografi dan psikolinguistik.

Jabatan Kesusasteraan Melayu

Jabatan Kesusasteraan Melayu menumpukan pengajian kepada aspek yang berkaitan dengan seni sastera Melayu iaitu tentang sejarah kesusasteraan, teori kesusasteraan, kaitan antara sastera, falsafah dan estetika, filologi, soiolagi sastera, metodologi penyelidikan sastera, pengurusan dan pemasaran sastera, sastera lisan Melayu, karya klasik agung Melayu, cerpen Melayu, puisi Melayu moden, penulisan kreatif, sastera Melayu dalam perbandingan, tulisan Jawi dalam teks sastera, kesusasteraan Islam (Melayu), kritikan sastera dan sastera Melayu semasa.

Jabatan Kesenian Melayu

Jabatan Kesenian Melayu menumpukan pengajian kepada aspek teoretis dan pragmatis tentang bidang kesenian dengan penumpuan kepada tiga bidang utama iaitu Seni Rupa, Seni Persembahan dan Pengurusan Seni.

Pengajian ini akan memberi tumpuan kepada keberhasilan bentuk-bentuk seni rupa dan seni persembahan mengikut jenis atau genrenya dengan mengambil kira aspek penghasilan atau proses kreativitinya, nilai estetika keberhasilannya dan kepentingannya dalam masyarakat khasnya masyarakat Melayu. Pengajian Pengurusan Seni mengutamakan aspek skil dan organisasi kerja serta perancangan bersabit dengan penghasilan seni.

Jabatan ini menyedari kepentingan keilmuan pengajian kesenian sebagai suatu proses yang bersifat kreatif, kemahiran, usahasama, bernilai estetik dan berimpakkan aural, visual dan teknologi.

 

Selain kursus-kursus dalam lima jabatan pengkhususan itu, struktur pengajian ijazah dasar juga mengandungi kursus-kursus keperluan Universiti (kursus Tamadun Islam dan Tamadun Asia, kursus Kemahiran Maklumat, Kursus Kemahiran Berfikir dan Komunikasi, Kursus Moral dan Etika Profesyen serta kursus Ko-Kurikulum), kursus keperluan Akademi Pengajian Melayu (kursus teras Akademi, kursus bahasa pilihan dan kursus am jabatan), kursus keperluan minor dan kursus keperluan elektif luar.

Selain lima jabatan pengkhususan tersebut, jabatan-jabatan berikut ditubuhkan bagi mengendalikan dan menyelaraskan kegiatan-kegiatan penyelidikan, pendokumentasian dan penerbitan.

Jabatan Penyelidikan

Jabatan Penyelidikan menumpukan perhatian kepada penyelidikan dalam bidang-bidang yang sedia ada dalam Pengajian Melayu, bahasa dan linguistik Melayu, kebudayaan Melayu dan kesusasteraan Melayu. Jabatan ini turut memberi penekanan dan penerokaan beberapa bidang utama seperti Sejarah Alam Melayu, Politik dan Ekonomi Melayu, Pemikiran dan Falsafah Melayu, Kesenian Melayu, Pemodenan Masyarakat Melayu, Orang Melayu dalam Konteks Sains dan Teknologi, Agama dan Kepercayaan dalam Masyarakat Melayu, Pengajian Etnik dalam Dunia Melayu dan lain-lain.

Jabatan Dokumentasi

Jabatan Dokumentasi menumpukan kegiatan kepada kerja-kerja pendokumentasian yang merupakan satu usaha yang berterusan selaras dengan prinsip-prinsip ilmiah dan kesarjanaan Pengajian Melayu. Kegiatan ini bercorak menyokong dan meningkatkan taraf kesarjanaan bidang Pengajian Melayu. Pendokumentasian melibatkan kegiatan yang luas yang meliputi pengumpulanmanuskrip Melayu, bahan-bahan tradisi lisan Melayu, kumpulan hasil aural dan visual Melayu, bahan-bahan budaya kebendaan, karya-karya sastera Melayu dan Bibliografi Melayu.



Jabatan Penerbitan

Jabatan Dokumentasi melengkapi kegiatan-kegiatan penyelidikan dan dokumentasi yang dijalankan. Hasil-hasil penyelidikan, kerja-kerja dokumentasi, kerja-kerja transliterasi teks dan sebagainya diterbitkan untuk dijadikan bahan-bahan rujukan kepada semua lapisan ilmuan terutamanya kepada mereka yang berminat dalam bidang Pengajian Melayu