Iladam atau nama sebenarnya Md. Ali bin Bachik dilahirkan di Kampung Tanjung Bidara , Melaka pada 21 Mei 1947. Beliau mendapat pendidikan rendah di Sek. Keb. Tanjung Bidara, Melaka dan menengah di Sek. Men. Gajah Berang, Melaka. Selepas itu beliau memasuki Maktab Harian (DTC) Melaka pada tahun 1967 hingga tahun 1969. Kerjaya beliau sebagai guru bermula pada 1 Jan 1970 sehingga bersara pada 1 Mei 2003. Jawatan terakhir yang beliau sandang adalah sebagai Penyelia Sekolah Rendah Negeri Melaka. Beliau amat aktif dan meminati bidang penulisan terutamanya mengenai Puisi Klasik Melayu. Beliau juga pengkaji dan pencipta puisi klasik Melayu. Atas dorongan dan minat yang mendalam dalam bidang ini, beliau telah berjaya menghasilkan 6 buah buku :-
1. Senandung Puisi lama - 1994
2. Senandung Kanak-Kanak - 1986
3. Himpunan Puisi Klasik - 1989
4. Khazanah Puisi Klasik - 2003
5. Nazam - 2003
6. Pantun Majlis - 2004
Selain bertugas sebagai pendidik dan penulis buku sastera, beliau juga telah dilantik sebagai Jurulatih Nazam Negeri Melaka, Penulis tamu IKSEP dan penceramah bebas, khusus tentang puisi klasik Melayu. Beliau merupakan AJK Persatuan Penulis IPM Melaka dan tokoh Puisi Klasik Melayu tanahair.