0 kuantiti
Total Price:RM0.00
Isa Kamari

Isa dilahirkan pada 1960. Beliau meraih ijazah B.Arch. (Hons) daripada Universiti Nasional Singapura pada 1988. Beliau kini sedang menjalani program M.Phil. bagi kajian sastera di Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau bertugas sebagai Arkitek Prinsipal dengan Penguasa Pengangkutan Darat Singapura, LTA..


Beliau adalah ahli Lembaga Pengarah Arkib Negara dan ahli Majlis Bahasa Singapura. Beliau juga adalah ahli Jawatankuasa Pengemudi Festival Seni Singapura dan Perlaksanaan Galeri Seni Negara, MICA.  Beliau juga adalah ahli Jawatankuasa Khas Penggalakan Bahasa Melayu, Kementerian Pendidikan.

 

Pada 2006, Isa telah menerima S.E.A. Write Award di Bangkok, Thailand.


Kumpulan Puisinya Sumur Usia yang diterbitkan pada 1993 telah memenangi Anugerah Buku National Book Development Council pada 1995 dalam kategori puisi. Beliau juga telah meraih Hadiah Sastera Anugerah Persuratan pada 1997 bagi cerpen, Pertemuan dan esei sastera, Milik Siapa Bumi Yang Satu Ini pada 2001. Beliau juga memenangi Hadiah Penghargaan bagi kategori puisi dan esei sastera pada 1993, 1995 and 1997 di majlis Anugerah Persuratan, yang dianjurkan oleh Majlis Bahasa Melayu, Singapura. Beliau juga menerima Hadiah Penghargaan Saadon Ismail pada 1995, yang dianjurkan oleh Persatuan Wartawan Melayu bagi kategori puisi dan cerpen. Novel sejarah, Satu Bumi, yang diterbitkan pada 1998 telah memenangi Hadiah Penghargaan Anugerah Persuratan pada 1999. Novel tersebut telah diterjemahkan ke dalam bahasa Mandarin dan diterbitkan pada 1999 dengan judul ‘Yi Pien Re Tu’. Satu Bumi juga terpilih untuk acara ‘Bacalah Singapura!’ pada 2005. Novel Kiswah (2002) pula telah berjaya ke pusingan akhir pemilihan Singapore Literature Prize, 2004. Novel Menara (2002) pula meraih Hadiah Penghargaan Anugerah Persuratan 2003, and Tawassul (2002) menerima kritikan meluas dan tinggi.. Novel sejarah Atas Nama Cinta yang membongkar tengkarah rusuhan Maria Hertogh telah dilancarkan pada  2006 bersama tiga kumpulan puisi Ka’bah, Lorong Wahyu dan Cinta Arafah. Satu perkara menarik mengenai 4 buku ini ialah ia dilancarkan bersama cakera padat yang mengandungi lagu-lagu puisi dan deklamasi sajak. Ka’bah, Lorong Wahyu & Cinta Arafah juga telah dihiasi dengan tulisan khat Jawi.


Penglibatan Isa dalam dunia seni menebar ke daerah penulisan skrip untuk drama TV dan teater. Beliau juga menulis lirik lagu dan menerbitkan album lagu dan video dokumentari. Beliau sering membaca puisi dan membentangkan kertaskerja di persidangan dan seminar antarabangsa. Beliau juga gigih mengadakan bengkel penulisan kreatif untuk murid-murid sekolah dan adalah pengasas dan ‘webmaster’ bagi laman sastera setempat yang popular, www.isakamari.com.


Isa telah berumahtangga dan mempunyai dua puteri. Isteri beliau telah meraih ijazah Phd. daripada Universiti South Carolina dalam bidang Sains Politik dan Perhubungan Antarabangsa.



Sumber - http://www.isakamari.com

Sort By: