GAPENA 33 TAHUN
0 kuantiti
Total Price:RM0.00

GAPENA 33 TAHUN

GAPENA 33 TAHUN

PENA merupakan persatuan nasional yang pertama ditubuhkan pada tahun 1960. Pada 20 September 1969, PENA telah mengaturkan satu pertemuan di Dewan Bahasa dan Pustaka, yang dihadiri oleh wakil-wakil 13 buah badan penulis dari seluruh Malaysia. Hasil daripada pertemuan itu, akhirnya pada 23 Oktober 1970, lahirlah Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dengan ahlinya terdiri daripada 13 buah badan penulis.

GAPENA ditubuhkan dengan tujuan:
pertama -  menyatupadukan penulis-penulis tanah air yang menulis dalam bahasa kebangsaan;
kedua -  mempertahankan dan memperjuangkan hak-hak dan kepentingan-kepentingan penulis;
ketiga -  memberikan sumbangan moral dan material secara positif kepada tujuan dan cita-cita gabungan;
keempat -  mengusahakan peluang-peluang untuk penulis-penulis memajukan bakat mereka;
kelima -  menyatupadukan semua rakyat Malaysia menerusi bahasa rasmi yang tunggal iaitu bahasa Melayu;
keenam -  mencari, mendapatkan dan mengendalikan harta alih dan harta tak alih di mana-mana sahaja dalam Malaysia; dan ketujuh - berusaha untuk memajukan bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan Melayu di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.


Dalam tempoh 33 tahun bergiat, GAPENA berusaha meninggikan imej golongan sasterawan dan budayawan di kalangan masyarakat melalui kegiatan yang menimbulkan suasana dinamik kepada perkembangan bahasa dan kesusasteraan di Malaysia khususnya, dan di Nusantara amnya. Di bawah pimpinan Tan Sri Prof. Emeritus Dato’ Dr. Haji Ismail Hussein (Ketua Satu sejak ditubuhkan), GAPENA berjaya menghidupkan kegiataan sastera dengan menyelaras pelbagai pertemuan sastera seperti

Hari Sastera (1973, 1974, 1976, 1978, 1980, 1983, 1985, 1987, 1993, 1995  dan 2001);
Hari Puisi Nasional (1979, 1981, 1984, 1987, 1988, 1991, 1995, 1999 dan 2000);
Seminar Kesusasteraan Nusantara (1973);
Pertemuan Penulis ASEAN (1977);
Pertemuan Sasterawan Nusantara (1981, 1988, dan 1999);
Simposium Dunia Melayu (1982, 1985, clan 1988);
Dialog Utara (1982, 1986, 1991, dan 1997);
Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu (1984 dan 1998);
Konvensyen Bahasa Kebangsaan (1986);
Seminar Bahasa Sastera dan Budaya Malaysia-Indonesia (1986);
Seminar Dasar Buku Negara (1986);
Seminar Bahasa Kebangsaan dan Penyiaran TV dan Radio (1986);
Dialog Borneo (1987, 1990, 1992 dan 1998);
Kongres Cendekiawan Melayu (1988, 1990 dan 1992);
Dialog Teluk Brunei (1987, 1988 dan 1997);
Seminar 100 Tahun Pergerakan (1992);
Dialog Teluk Brunei (1987, 1988 dan 1997);
Seminar 100 Tahun Pergerakan Bahasa dan Sastera Melayu (1989);
Kongres Kebudayaan Sabah (1989);
Seminar Kepimpinan Kebudayaan di Malaysia (1990);
Seminar Persefahaman Kebudayaan Thailand Malaysia (1990);
Dialog Selatan (1992);
Bengkel Penilaian Penyair Muda 1991);
Simposium Kebudayaan Sempadan (1992);
Seminar Dunia Melayu Dunia Islam (1992);
Seminar Kepimpinan  Kebudayaan dalam Menghadapi Wawasan 2020 (1992);
Seminar Kebudayaan Melayu Cape Town (1993);
Simposium Melayu Baru (1993);
Seminar Kebudayaan Etnis Dunia Melayu Yunnan (1994);
Seminar Kepimpinan Kebangsaan (1995);
Pertemuan Sasterawan Malaysia (1999 dan 2001);
Simposium Penulis Pelbagai Kaum (1999, 2000 dan 2001);
Seminar Kesusasteraan Malaysia di Jakarta (2001);
Simposium Tak Melayu Hilang di Dunia di Jawa Barat (2001);
Ratib Seribu Syair yang bersejarah  tercatat dalam The Malaysia Book of Records (2001),
Festival Sastera Perpaduan Malaysia (2002),
Persidangan Antarbangsa Pemikiran Ismail Hussein (2002)
dan pelbagai seminar lain.

Bakat-bakat penulis dalam pelbagai kesusasteraan dicungkil oleh GAPENA melalui penyelenggara pelbagai peraduan seperti Hadiah Novel GAPENA, Hadiah Novel Yayasan Sabah-GAPENA, Hadiah Cerpen ESSO-GAPENA,  Hadiah Sastera Remaja ESSO-GAPENA, Hadiah Drama Pentas ESSO-GAPENA, Hadiah Puisi Kebangsaan ESSO- GAPENA, Anugerah Puisi Putra Anugerah Sastera Islam Darul Imam Hadiah Puisi Kebangsaan Shapadu-GAPENA, Anagerah Pengembangan Sastera Kebangsaan ESSO-GAPENA, Hadiah Novel ESSO-GAPENA, Hadiah Novel Melayu Baru Pengarang-GAPENA dan hadiah Biografi ESSO-GAPENA. Dalam usaha mencungkil bakat-bakat deklamator puisi yang baik, sejak tahun 1987, sempena perayaan Hari Kebangsaan, GAPENA menyelenggarakan acara Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Kemerdekaan yang ditaja oleh Jawatankuasa Pusat Perayaan Hari Kebangsaan. Di samping itu GAPENA juga menghargai tokoh-tokoh budaya dan penyair melalui pengurniaan Anugerah Budaya GAPENA dan Anugerah Penyair GAPENA.

GAPENA juga terlibat dalam projek Penulisan Kreatif Wilayah (1980-1999) yang dianjurkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), daripada bengkel penulisan di seluruh negara ini (yang melibatkan ahli-ahli Badan Gabungan), lahirlah karya para peserta dalam bentuk antologi cerpen dan novel. Hasil kegiatan pertemuan sastera dan peraduan penulisan anjuran GAPENA dan pelbagai genre telah diterbitkan dalam bentuk buku oleh DBP dan penerbit lain. GAPENA sendiri menerbitkan beberapa buah buku seperti Kuala Lumpur: Antologi Sajak Pilihan (1975), Warisan Dunia Melayu: Teras, Peradaban Malaysia (1985), Warisan Sastera Pulau Pinang (1985), Maruah Merdeka (1987), Warisan Sastera Pahang (1985), Melayu Sri Lanka: Simposium Dunia Melayu Kedua (1990), Novel Restu (2000), Antologi Daik Bondaku (2001), Biografi Ismail Hussein (2002) dan sebagainya.

Dalam hubungan antarabangsa GAPENA sering membawa rombongan penulis ke negara-negara ASEAN (Indonesia, Singapura, Brunei Darussalam, Thailand dan Filipina) di samping pernah mengadakan lawatan dan seminar di Vietnam, Korea Selatan, Sri Lanka, Afrika Selatan, Yunnan, China dan mengunjungi USSR, Republik Rakyat China dan terakhir ke Tanah Suci Makkah.

Kesan daripada pelbagai pertemuan sastera dan peraduan penulisan yang telah diadakan GAPENA telah dapat mewujudkan suasana erat persahabatan kaum sasterawan dan budayawan di seluruh Malaysia, Nusantara dan Dunia Melayu. Namun perjuangan GAPENA untuk membina tamadun dunia berbahasa Melayu masih jauh jalannya. Inilah cita-cita yang cuba direalisasikan oleh kepimpinan Tan Sri Prof. Emeritus Dato’ Dr Ismail Hussein dalam tempoh 33 tahun ini. Pada dasarnya kegiatan GAPENA tidak terbatas dalam dunia sastera semata-mata, tetapi merangkumi usaha pembinaan tamadun dunia berbahasa Melayu secara harmoni tetapi dinamik, untuk mengikis sikap rendah diri akibat penjajahan Barat ratusan tahun lamanya.