Biodata Tan Sri Ismail Hussein
0 kuantiti
Total Price:RM0.00

Biodata Tan Sri Ismail Hussein

Tan Sri Profesor Emeritus Dato’ Pendita (Dr) Haji Ismail Hussein                                    

Ketua Satu GAPENA –  Tan Sri Profesor Emeritus Dato’ Pendita (Dr) Haji Ismail Hussein dilahirkan di Sungai Limau Dalam, Yan, Kedah pada 30 Januari 1032. Bapanya pedagang kecil, abangnya Abdullah menjadi pengarang yang diangkat sebagai Sasterawan Negara, manakala adiknya Dato’ Ibrahim mengembang sebagai pelukis antarabangsa.

 Dari sejak kecil tatkala membesar di kampung terpencil beliau mulai sedar akan keluasan dunia Melayu, dengan ingatan terhadap keluarga sebelah bapanya di Aceh, manakala keluarga ibunya yang bermastautin di Selatan Burma selalu kembali mengunjungi keluarga di Kedah. Beliau telahpun mendirikan rumahtangganya dengan Puan Sri Rogayah Abdul Rashid pada tahun 1964 dan telah dikurniai empat orang cahaya mata.

 Beliau mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Melayu Sungai Limau Dalam, kemudiannya di Sekolah St Michael, Alor Setar, Kedah sebelum berpindah ke Maktab Sultan Abdul Hamid. Pada tahun 1955 Universiti Malaya telah menerima beliau untuk mengikuti jurusan Pengajian Melayu dan mendapat Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian Kelas Pertama pada tahun 1959 dan Ijazah Sarjana pada tahun 1961. Sejurus tamat pengajian beliau melanjutkan pengajian di Universiti Leiden hingga tahun 1964.

 Beliau menjadi pensyarah di Universiti Malaya sejak 1960 dan telah dilantik sebagai Profesor Kesusasteraan Melayu pada tahun 1971. Beliau pernah dilantik sebagai Timbalan Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial dan kemudiannya sebagai Ketua Jabatan Pengajian Melayu dari tahun 1978 hingga 1984. Pada tahun 1987 beliau telah menjadi Pengarah Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia dan berkhidmat di sana hingga 1993.

 Beliau dilantik menjadi Ketua Satu GAPENA sejak ditubuhkan lagi pada 23 Oktober 1970 dan memegang jawatan itu hingga kini. Pada tahun 1965 beliau telah menjadi ahli kemudian sebagai Timbalan Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka dan berkhidmat di situ hampir 30 tahun. Antara lembaga yang dianggotainya ialah Panel Anugerah Sastera Negara, Majlis Penasihat Kebangsaan Berkenaan Kebudayaan, Majlis Buku Malaysia, Jawatankuasa Penyelarasan Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan, Jawatankuasa Penasihat Pusat Manuskrip Melayu. Melalui GAPENA pencapaiannya yang ketara ialah menggerakkan hubungan serta kerjasama masyarakat dan kelompok Melayu antarabangsa. Terpenting ialah pertemuan serta simposium kebudayaan Melayu yang diselenggarakan di Sri Lanka, Vietnam, Yunnan-China, Cape Town-Afrika Selatan, Mindanao-Filipina, Madagaskar, Bangkok-Thailand, dan Tanah Suci (Mekah dan Madinah). Kemuncak daripada usaha itu ialah penyelenggaraan Simposium Jaringan Melayu Antarabangsa dan Simposium Melayu Sedunia di Shah Alam pada tahun 1996, susulan daripada itu ditubuhkan Yayasan Sekretariat Melayu Antarabangsa dan beliau telah dilantik menjadi Pengarah Eksekutif. Pada tahun 2001 disusuli pula dengan Persidangan Dunia Melayu di PWTC-Kuala Lumpur. kegiatan asas GAPENA memang tertumpu kepada pembinaan bahasa dan sastera Melayu di Malaysia dan di rantau, terutama melalui Pertemuan Sasterawan Nusantara yang dianggotai oleh Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura. Beliau dilantik sebagai Setiausaha kepada Majlis Sasterawan Nusnatara yang menyelenggarakan Pertemuan tersebut.

 Semasa alam persekolahan lagi beliau telah menunjukkan minat dalam kebudayaan, terutama penulisan dengan menjadi editor untuk majalah sekolah dan majalah bahasa keluaran Persekutuan Bahasa Melayu Universiti Malaya semasa menuntut di universiti. Antara bibliografi beliau ialah Kepimpinan dalam Kebudayaan (1984); Cita-Cita dan Perjuangan (1987); Segugus Pandangan dan Harapan (1988); Antara Politik dan Sastera (1989); Statements on Malay Language and Literature (1989); Melayu Akhbar (1989); Tamadun Melayu (1989); Antara Dunia Melayu dan Dunia Kebangsaan (1990); Jejak Langkah Ismail Hussein (1993); Kumpulan Makalah Memperingati Persaraan Ismail Hussein (1994); Pengajian Melayu di Dunia Melayu (1994); Dunia Melayu dan Dunia Indonesia (1995) dan Bahasa Melayu di Dunia Melayu (1995).

 Tan Sri Profesor Emeritus Dato’ Pendita (Dr) Haji Ismail Hussein telah dianugerahkan Darjah Setia Diraja Kedah oleh KDYMM Sultan Kedah Darul Aman pada tahun 1980. Sementara Ijazah Kehormat Doctor Honoris Causa oleh Universitas Indonesia pada tahun 1984. Gelaran Pendita oleh Simposium Dunia Melayu 1985 di Sri Lanka pada tahun 1985 dan darjah Panglima Setia Mahkota oleh DYMM Yang di Pertua Agong pada tahun 1993. Dalam tahun 1997 Universiti Madagaskar menganugerahkannya Doctor Honoris Causa. Dan terbaru anugerah Prof Emeritus pada tahun 1997 oleh Universiti Malaya. Anugerah lain yang diterimanya ialah bintang Datok Dharma Wangsa dari Istana Maimoon Medan dan gelar Linggom Banua Melayu dari masyarakat Harahap Padangsidempuan. Dan terakhir gelar Seri Wira Cendekia Mulia Kedah darul Aman dari DYMM Sultan Kedah pada tahun 2002.

 Dokumen-dokumen peribadinya terutama yang berhubungan dengan kegiatan Dunia Melayu tersimpan dalam Koleksi Khas di Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah, Alor Setar.