|
Judul : A-Z Menjahit Baju Melayu Pengarang : Zaliha Ariffin Penerbit : Utusan Publications & Distributions Genre : Fesyen Mukasurat : 110 halaman Cetakan Pertama : 2010 ISBN : 9789676123824
PRAKATA
Baju melayu merupakan pakaian warisan budaya masyarakat Melayu yang juga pakaian tradisional negara Malaysia. Selain dipakai semasa majlis tertentu seperti kenduri, majlis perkahwinan dan hari raya, baju ini turut dipakai untuk ke majlis rasmi seperti penyampaian hadiah, mesyuarat dan sebagainya.
Kebiasaannya, baju melayu dipakai berserta dengan seluar baju melayu. Walau bagaimanapun, baju melayu juga sesuai dipadankan dengan kain sarung untuk menghadiri acara-acara biasa seperti solat berjemaah di surau atau masjid dan juga majlis ilmu.
Senario hari ini, lebih ramai individu mengupah orang menjahit pakaian berkenaan berbanding mencuba sendiri. Hal ini disebabkan oleh beberapa perkara termasuk kekangan masa. Pun begitu, tidak dinafikan masih ada individu yang suka mencuba. Maka atas kesedaran yang ada, penulis terpanggil untuk mendokumentasi dan menyebarkan ilmu menjahit pakaian warisan ini agar tidak lapuk ditelan masa. Selamat mencuba!
KANDUNGAN
PENGENALAN
Baju Melayu Teluk Belanga dan Baju Melayu Cekak Musang Fabrik Baju Melayu Alatan yang Diperlukan untuk Jahitan Asas A. Alatan memotong B. Alatan mengukur dan membentuk C. Alatan menanda D. Alatan menekan dan menggosok E. Bahan untuk menjahit Menyusun Pola pada kain
MENGUKUR DAN MENJAHIT BAJU MELAYU
BAJU MELAYU Kaedah Mengukur Badan Lelaki Melakar Ukuran Yang Perlu Diukur A. Melakar rajah untuk dicatat ukuran baju sahaja B. Melakar rajah untuk dicatat ukuran seluar sahaja
Melakar Pola Cara melakar pola badan hadapan/belakang Cara melakar pola pesak Cara melakar pola kekek Cara melakar pola tangan
Menjahit Pesak dan Kekek Leher Baju Melayu Teluk Belanga Kaedah melakar pola lubang leher teluk belanga Kaedah menjahit leher teluk belanga Menjahit kemasan tulang belut pada leher baju melayu teluk belanga
Leher Baju Melayu Cekak Musang Pola baju melayu cekak musang bahu mendatang Kaedah menebuk lubang leher cekak musang Tetulang cekak musang Tetulang ceongsam Kolar cekak musang Kolar ceongsam Lubang butang
Kocek Tampal Kaedah menyedia dan menjahit kocek tampal Cara melakar dan menanda kedudukan kocek pada badan baju Kaedah menjahit kocek pada badan baju Menjahit Pesak dan Tangan Dengan Badan Baju
SELUAR BAJU MELAYU Ukuran Yang Diperlukan Cara melakar pola hadapan seluar Cara melakar pola belakang seluar Kaedah Membuat Pola Pada Fabrik Kaedah Menjahit Seluar Menyediakan Fly Kocek
Pinggang Seluar Cara membuat pinggang pengeras dan getah seluar baju melayu Langkah-langkah menjahit pinggang seluar Langkah-langkah menjahit cangkuk tanam
BIODATA PENULIS
BAJU MELAYU TELUK BELANGA DAN BAJU MELAYU CEKAK MUSANG
Baju melayu cekak musang tidak dapat dipisahkan daripada masyarakat Melayu khususnya dan rakyat Malaysia amnya. Pakaian ini dipakai oleh kaum lelaki, menjadi lambang kebudayaan bangsa Melayu dan mempunyai unsur keagamaan Islam. Setiap hari Jumaat, ramai jemaah memakai baju melayu untuk menunaikan solat Jumaat di masjid. Sambutan hari raya tidak indah tanpa memakai baju melayu, mereka daripada pelbagai lapisan usia mengenakan baju melayu dalam pelbagai warna yang menarik.
Baju melayu cekak musang adalah sama seperti baju melayu teluk belanga atau baju kurung Johor yang begitu popular dalam kalangan rakyat negeri Johor. Perbezaan baju ini terletak pada bahagian lehernya sahaja. Baju teluk belanga mempunyai bentuk leher seperti baju kurung dan dibuat kemasan jahitan tulang belut dipadankan dengan butang yang khas.
Baju cekak musang mempunyai sejenis kolar yang tinggi menegak dan dibelah bahagian hadapannya serta dibuat kemasan tetulang. Kedua-dua jenis baju ini mempunyai tiga kocek - satu kocek kecil di bahagian atas kiri dan dua lagi di bahagian bawah baju, kiri dan kanan. Tetulang bawah lebih kecil daripada tetulang atas, bahagian tetulang atas dan bawah akan ditebuk lubang butang. Butang khas baju melayu cekak musang dipasang pada lubang butang, biasanya dibuat 4 butang atau 5 butang.
Bahagian badan baju melayu cekak musang boleh dijahit seperti baju teluk belanga atau baju kurung, ia boleh juga dipotong bahu seperti baju kemeja. Bahagian pesak, kekek dan kocek adalah sama seperti baju teluk belanga. Baju melayu teluk belanga dipadankan dengan samping di bawah baju yang dikenali sebagai "dagang luar".
|