0 kuantiti
Total Price:RM0.00
> Koleksi / Direktori Penulis> Shaharom TM Sulaiman

Biblioholisme: Menelusuri Pesona Dunia Buku dan Pencintanya

Biblioholisme: Menelusuri Pesona Dunia Buku dan Pencintanya
Judul : Biblioholisme: Menelusuri Pesona Dunia Buku dan Pencintanya
Harga :
RM15.00
Nombor siri : 4731130
Status Stok: Stok masih ada
Masukkan buku ke dalam troli belian

Judul : Biblioholisme: Menelusuri Pesona Dunia Buku dan Pencintanya
Pengarang : Shaharom TM Sulaiman
Penerbit : Institut Terjemahan dan Buku Malaysia
Genre : Esei
Mukasurat : 106 halaman
Cetakan Pertama : 2012
ISBN : 9789830688824



Buku yang hebat merupakan bahan bacaan yang mampu mempengaruhi manusia dan zamannya, benar-benar mengusik dan menyentuh jiwa, serta berupaya memaknakan hidup pembaca. Sejarah juga membuktikan buku mempunyai magis luar biasa yang mampu mengalirkan air mata manusia, mencetuskan keceriaan, menimbulkan kegembiraan, bahkan menggerakkan proses penentangan terhadap ketidakadilan.

Biblioholisme: Menelurusi Pesona Dunia Buku dan Pencintanya mendedahkan kehebatan sebuah buku dan bagaimana ia mampu mengubah pencintanya menjadi orang yang hebat, berintelek dan dihargai masyarakat. Buku yang dibaca juga mampu menyelesaikan pelbagai masalah, malah banyak individu yang bermula sebagai orang biasa akhirnya menjadi manusia unggul dengan hanya membaca buku.

Buku ini juga membawa pembaca ke sebuah dunia yang penuh mistik dan estetik; dunia biblioholisme.

Kandungan

Prakata

Pendahuluan

BAHAGIAN I

BUKU DAN DAYA PIKATNYA
Daya Pikat Sebuah Buku
Buku Teman Setia Sepanjang Masa
Menyemarakkan Semula Peradaban Buku
Buku Memoir Bercitra Sejarah
Tip Merawat Buku
BukuKomik 1 Malaysia

BAHAGIAN II

BIBLIOHOLISME: MENGENAL DUNIA PENCINTA BUKU
Bibliofil dalam Perspektif Sejarah dan Peradaban
Keunikan dan Kepelikan Bibliofil
Adakah Biblioholisme Suatu Penyakit?
Kepentingan Bibliofil kepada Budaya Membaca
Ke Arah Memupuk Budaya "Biblioholisme"
Pertemuan Pencinta Buku Malaysia
Jaafar Abd. Rahim: Bibliofil dan Pesona Dunia Buku
Tengku Abdullah: Antara Dunia Buku dengan Pendidikan
Wan Mohd. Shaghir: Pengkaji Kitab Ulama Silam Melayu
Alfred Nobel: Pengasas Hadiah Nobel Kesusasteraan
Oprah Winfrey: Penggerak Budaya Membaca
Albert Einstein dan Pesona Buku


BAHAGIAN III

TRAVELOG PENCINTA BUKU
Keasyikan "Memburu" Buku Terpakai
"Lautan Manuskrip" Perpustakaan di Iran
Dokumentari travelog Kembara Buku
Keselesaan Membaca di Kedai Buku
Buku Travelog Haji
Penubuhan Kota Buku Kuala Lumpur

BAHAGIAN IV

SISI ANEH DUNIA BUKU
Mengadu pada Buku
Keganasan terhadap Buku
Bibliokleptomania: Penyakit Mencuri Buku
Buku yang Perlu Dibaca Sebelum "Mati"
Bertanyakan Seks pada Buku
Surat Bersejarah Puteri Galileo Galilei

Bibliografi



BIBLIOHOLISME.
Secara mudah biblioholisme dapat diertikan sebagai kecanduan luar biasa terhadap buku dan dunianya yang berkecenderungan berlebihan, kalau tidak pun ekstrem, dalam membeli, membaca, menyimpan dan mengagumi buku. Pencinta buku dikenali sebagai bibliofil. Ada juga yang menamakan mereka biblioholic (seperti alkoholik untuk penagih alkohol dan workaholic untuk yang gila kerja).

Buku memang mempunyai daya pikatnya yang tersendiri kepada pencinta buku. Malah buku adalah teman setia sepanjang masa, teman pada masa keseorangan, teman semasa kembara, dan teman untuk tidak membuang masa begitu sahaja. Dalam konteks ini, pemikir Islam, Ziauddin Sardar, menyifatkan buku sebagai sebuah peradaban. Dunia yang dilahirkan oleh peradaban buku adalah dunia yang membentuk citra manusia berbudaya tinggi.

Hal inilah yang ingin diungkapkan dalam Bahagian I buku ini dengan mengambil kira aspek estetika, genre kreatif buku, layanan kita terhadap buku dan bagaimana dapat merawat kelangsungan buku dalam erti kata memulihara atau menjaga buku sebagaimana menjaga kesihatan diri sendiri.

Bahagian II pula mengajak pembaca mengenal dunia pencinta buku dengan segala pesonanya yang terjelma dalam kalangan pencinta buku tempatan mahupun luar negara. Kisah mereka mempunyai daya tarikan yang tersendiri yang dapat dipelajari dan dimanfaatkan. Ada dalam kalangan pencinta buku yang diceritakan dalam buku ini telah meninggal dunia dan telah memberikan sumbangan besar kepada dunia ilmu. Tidak kurang juga ada dalam kalangan pencinta buku yang masih bersama dan terus memberikan sumbangan dalam bidang masing-masing. Pada mulanya kita akan mengenal dan memahami maksud biblioholisme.

Pencinta buku akan "memburu buku" (book hunting) ke mana-mana  sahaja  untuk  koleksi  peribadinya.   Murah  mahal  buku tidak menjadi persoalan, asalkan buku itu dapat dimilikinya. Bahagian III ini menceritakan travelog atau kembara pencinta buku. Dalam bahagian ini, kita didedahkan kepada keasyikan memburu buku terpakai, lautan manuskrip yang terdapat di perpustakaan di negara Iran, menjelajahi  travelog kembara buku sebagaimana yang dipaparkan dalam sebuah dokumentari, merasai keselesaan yang nyaman membaca di kedai buku yang sudah jauh berubah menjadi sebahagian gaya hidup metropolitan.Pembaca juga dibawa menelusuri buku travelog haji dan pulang kembali ke Kuala Lumpur untuk memberikan sokongan kepada penubuhan Kota Buku Kuala Lumpur yang bakal menjadi "syurga" bagi pencinta buku.