|
Judul : Ingin Jadi Nasrallah Pengarang : Faisal Tehrani Penerbit : Al-Ameen Serve Sdn. Bhd. Genre : Puisi Mukasurat : 80 halaman Cetakan Pertama : 2010 ISBN : 9789833991600
Merupakan antologi puisi pertama Faisal Tehrani. Ia menghimpunkan sejumlah 35 buah puisi Faisal Tehrani sejak pembabitannya dalam bidang penulisan. Kumpulan puisi ini menjadi bertambah menarik dan unik dengan nilai tambah sejumlah foto peribadi Faisal Tehrani khususnya ketika kembara beliau. Faisal pernah memenangi Hadiah Sastera Utusan 1999 untuk puisi beliau Sesudah Hujan Dahlia yang disifatkan oleh panel penilai sebagai 'menampilkan kekuatan dari segi estetik dan bersifat imaginatif, selain berjaya menimbulkan kesan tragis terhadap peperangan'.
Ingin Jadi Nasrallah
Jadi puisi aku ini akan bercerita tentang juang, Apa rahsiamu Nasrallah? Apa yang kau pupuk Pada tentera Hezbullah? Tauhidmu sekamus dengan tauhidku Selawatmu tak juga asing dari selawatku Jadi bagaimana kau menjadi si pemberani itu?
Akhirnya setelah lebih tiga tahun merancang dan mengerjakannya. Meskipun tidak semua yang dirancang menjadi kenyataan, dan tidak semua kesempurnaan dapat dicapai; memadailah disebutkan di sini bahawa Ingin Jadi Nasrallah adalah ole-ole manis saya untuk pembaca saya yang setia. Turun naik saya selama dua dekad dalam bidang penulisan bagaikan roller coaster. Turun naik yang telah didokongi dengan padu dan kuat oleh sekian khalayak Faisal Tehrani yang ikut sama 'berani mati'.
Tidak semua orang tahu saya bermula dengan genre puisi. Tidak semua orang tahu puisi saya yang pertama tersiar di akhbar Harakah saat saya masih menuntut di Kolej Islam Sultan Alam Shah lagi. Saat saya 'tersedar' puisi itu terbit, rakan saya - Haniff Ahamat - berada di sisi dan kami berdiri dalam bas dari Kelang menuju ke Kuala Lumpur, untuk bergabung dengan mantan mufti Perlis menemui Ustaz Yaacob Hussin. Puisi itu, sebagai satu linangan sejarah yang akan terus mengalir, ada saya muatkan sekali dalam Ingin Jadi Nasrallah.
Terdapat puisi yang dicatatkan mengapung ketika saya di rantau orang. Resah - diam yang bergulir - harapan - rindu - asyik - cinta - misteri - khayal - doa dan pergulatan pemikiran yang saya tempuhi sebagai pengarang selama dua dekad ini berasakkan lalu terpadu, langsung terakam menjadi satu dokumen yang berbentuk puisi. Insya-Allah Ingin jadi Nasrallah berbaloi kerana ia juga satu himpunan album yang mengisi dan menilai rona kehidupan saya selama dua dekad itu.
- Faisal Tehrani (http://tehranifaisal.blogspot.com/)
|