|
Judul : Salju Sakinah Pengarang : Zaid Akhtar Penerbit : PTS Millennia Sdn Bhd Genre : Sastera Mukasurat : 559 halaman Cetakan Pertama : 2008 ISBN : 9789833604418
"Novel-novel pop semakin banyak di pasaran, dan kita semakin sukar mencari karya tepu dakwah yang disampaikan dengan penuh hikmah. Dakwah itu pula tidak terlalu berkhutbah sifatnya. Syukur, Zaid Akhtar dan Salju Sakinah dapat mengisi kekurangan ini. Salju Sakinah ialah novel untuk semua!"
Nisah Haji Haron, Penulis & Penasihat Ujana Ilmu Sdn Bhd
Novel berunsur Islam memang pun sudah banyak tetapi amat sukar mencari roh keIslaman dalam novel yang banyak ini. Novel Salju Sakinah saya kira sudah mampu menyediakan hidangan untuk pembaca mengecapinya. Citra muslimah setabah Sumayyah begitu ketara menjadi kekuatan novel ini. Naratifnya cukup Islamik, namun pengarang dengan penuh sedar memilih untuk tidak didaktik dalam menghantar amanatnya. Kadang-kadang terasakan seolah-olah novel ini dikarang oleh seorang wanita. Sebagai penelaah novel saya amat merasai Salju Sakinah berupaya menjentik hati dan membangunkan jiwa. Inilah novel Islamik berperspektif muda yang matang, yang jarang-jarang sekali kita temui di antara banyak novel di Malaysia.
Azizi Haji Abdullah Penerima SEA Write Award 1988 & MASTERA 2007.
SALJU SAKINAH, salju kedamaian. Novel Islamik yang dindahi nilai-nilai murni dalam kehidupan. Digarap dengan lenggok bahasa yang indah, mudah dan memikat. Terbuai, dengan cara penceritaan yang bersahaja, tetapi terkesan dengan cerita-cerita yang membina semangat juang, pertalian jiwa, kasih sayang yang tulus bersih. Zaid Akhtar punyai kepakaran untuk menarik para pembacanya untuk terus meneliti baris demi baris sehingga ke ayat yang terakhir.
Aminah Mokhtar Novelis Iman Markisa & Dominasi Tebrau
Sinopsis
NOVEL Islami ini menyorot ketabahan watak Sumayyah siswi tahun akhir
Universiti Yarmouk, Jordan yang berada di semester terakhir
pengajiannya.
Sumayyah, 25 tahun berhadapan pelbagai rona ujian yang mencabar
kematangannya dan wibawanya sebagai pelajar jurusan Syariah di
universiti Timur Tengah.
Novel ini mengambil dua latar tempat iaitu Jordan dan Malaysia.
Juga dua latar waktu iaitu ketika Sumayah menghabiskan semester
terakhirnya dan ketika dia berada di kampungnya, di Senggarang, Batu
Pahat.
Walaupun watak Sumayyah menjadi sudut pandangan utama di dalam
novel ini, tetapi persoalan global dunia Islam, ekonomi, politik,
sosial dan ilmu turut disentuh di dalamnya. Lantaran, sewaktu di
Jordan, Sumayyah amat intim dengan isu Palestin, Iraq dan dunia Islam
sekitarnya disebabkan pergaulannya dengan pelajar-pelajar Arab yang
tinggal berjiran dengannya. Sedaya mungkin Sumayyah cuba membantu
teman-temannya yang menghadapi kesan dan tekanan perang.
Selain itu, novel ini juga tidak melupakan aspek sosial dengan
mengenengahkan isu sumbang mahram, hasad dengki, fitnah -memfitnah
serta kepercayaan khurafat dan ilmu sesat yang menjadi penyakit
sebahagian masyarakat. Sumayyah berhadapan dengan fitnah daripada
jirannya dan akhirnya berjaya membongkar kes sumbang mahram yang
dialami jirannya itu.
Bahkan, ia juga mengupas aspek ekonomi orang Islam dengan
perusahaan kerepek yang diwarisi Sumayyah daripada ayahnya. Industri
desa yang popular di Batu Pahat ini menjadi latar utama novel ini
sepanjang watak Sumayyah berada di kampungnya.
Novel ini berlangsung selama kira-kira sembilan bulan. Bermula
pada musim panas pertengahan Mei dan berakhir pada musim sejuk akhir
Januari tahun berikutnya. Ia dimulakan dengan kejutan-kejutan di luar
duga dalam diri Sumayyah di penghujung pengajiannya: Hubungannya dengan
Afnan, siswa Universiti al-Azhar terputus, beberapa masalah persatuan
pelajar, malah turut berkongsi derita dengan pelajar-pelajar Palestin.
Seminggu selepas peperiksaan akhirnya pada awal Jun, tanpa
menunggu keputusan rasminya keluar, Sumayyah terbang pulang ke
Malaysia. Apabila tiba di rumah, dia terkejut apabila mendapati ayahnya
baru sahaja meninggal dunia sepuluh hari yang lalu akibat kemalangan
jalan raya. Berita duka itu sengaja dirahsiakan keluarganya
memandangkan peperiksaan akhir yang sedang dijalaninya.
Di kampungnya di Senggarang, Batu Pahat, Sumayyah meneruskan
usaha ayahnya membangunkan kilang kerepek bersama ibunya dan Muazam,
pembantu ayahnya. Pelbagai cabaran dihadapi oleh Sumayyah dalam
meneruskan industri yang makin berkembang, namun dia mendapat sokongan
kuat daripada Muazam, pemilik Diploma Pengajian Perniagaan. Kerjasama
ini menguatkan hubungan mereka yang direstui ibunya.
Di samping itu, Sumayyah tidak lupa menumpahkan khidmat ilmu
kepada masyarakat dengan aktif memberi kuliah agama, menjadi tempat
rujuk masyarakat dan terlibat dengan pergerakan wanita di kampungnya
bersama bekas gurunya, Ustazah Samihah. Program Yaasin dan tazkirah
dari rumah ke rumah yang sebelumnya mati dihidupkannya semula.
Namun, dia diuji apabila jiran sebelah rumahnya yang baru bersuami
muda mula memfitnahnya. Lebih memeritkan, kakak dan abang iparnya
sendiri terpengaruh dengan ajaran sesat.
Bagaimanapun pada pertengahan September, Sumayyah menerima
kejutan yang sangat mencabar keimanannya apabila menerima panggilan
telefon dari Jordan. Dia diberitakan gagal salah satu kertas yang
diambilnya pada semester terakhir apabila slip sebenar keputusan rasmi
dikeluarkan pihak senat universiti ? walhal sebelumnya dia telah
diberitakan lulus berdasarkan keputusan tidak rasmi yang ditampal oleh
pensyarah. Maknanya, dia masih belum bergelar graduan.
Dia malu amat, sukar untuk menerima kenyataan. Tetapi terpaksa
juga secara senyap-senyap kembali ke Jordan pada awal Oktober untuk
meneruskan satu subjek yang masih tersangkut setelah didesak oleh
ibunya yang baru sedikit pulih daripada serangan kencing manis. Urusan
kilang diserahkan kepada Muazam.
Walaupun terasa sangat malu, namun ditabahkan hatinya berhadapan
dengan teman-teman. Peluang keduanya belajar di Jordan dihabiskan
dengan ?menadah? kitab dengan ulama dan para pensyarah. Namun kesedihan
itu terubat kerana dia dilamar oleh Naufal, pelajar sarjana yang selama
ini meminatinya secara diam-diam.
Pada akhirnya, salji yang lebat turun menduga kesabarannya
apabila suami yang dinanti tidak pulang kerana terperangkap dalam ribut
salji di Amman. Walau bagaimanapun novel ini masih diakhiri dengan
kejutan di luar jangka yang positif.
Selebihnya, novel ini menawarkan nilai-nilai murni yang wajar
diteladani pembaca. Justeru sebagai sebuah novel Islamik, sirah
Rasulullah, kisah para Nabi dan sahabat turut dititipkan kepada pembaca
sebagai peringatan; tanpa melupakan firman Tuhan dan hadis Nabi yang
diselitkan juga sebagai panduan. Insya-Allah.
Fragmen Novel Salju Sakinah
MEMANG kurang ajar! Biadab! Melampau! Sumayyah menghumban dirinya ke tilam. Hatinya membara dan panas. Pedih dan tersiat. Rasanya tidak pernah dia semarah ini seumur hayatnya. Kalau diikutkan hatinya yang hangat, mahu saja dia berlari ke rumah sebelah lalu dilempang atau dicilinya mulut jirannya itu. Tetapi rasional dan imannya lekas menyabarkan. Andai dia gagal mengawal emosi dan bertindak tidak waras, kelak dia juga yang dianggap ?bengong? atau kurang siuman.
?Bersabarlah,? pujuk umi selalunya. ?Orang gila macam tu usah dilayan. Biarlah dia perasan sendiri. Ingat kita tergiur kat laki dia,? tambah Yusnani pula.
Namun kalimat mereka berdua cuma penenang sementara. Lantaran kebenciannya terhadap Zaleha kadang-kadang mencapai tahap maksimum dan sukar dimaafkan. Kalaulah dia pemerintah berkuasa, perempuan berakhlak seburuk itu akan ?dikerengga? hingga pengsan.
?Telinga Mak Milah ni sendiri dengar Leha buruk-burukkan Mai. Katanya Mai ada hati nak ngurat laki baru dia. Selalu senyum-senyum bila lalu depan rumah dia.?
Sumber: http://www.myzaidakhtar.blogspot.com/
|