|
Judul : Sebongkah Batu di Kuala Berang Pengarang : Faisal Tehrani Penerbit : PTS Litera Utama Genre : Novel Mukasurat :180 halaman Cetakan Pertama : 2011 ISBN : 9789675783555
Faisal Tehrani kembali. Dalam novel terbaru ini, beliau menaburkan nilai-nilai moral Islami melalui sebuah kisah yang memperkaya hati.
Kisah ini bermula di sebuah institusi yang dinamakan Akademi Seni Islam. Sekumpulan pelajar tahun akhir perlu menyiapkan tugasan terakhir dengan cemerlang, iaitu dokumentari drama yang mengkaji kedatangan Islam ke Tanah Melayu. Kisah kedatangan Islam yang dikaji dengan secara terperinci itu dialihkan ke dokumentari drama dengan tuntutan seni yang tinggi.
Alur ceritanya mula bergolak dengan sikap pelakon yang bermasalah sehingga dokumentari itu gagal memenuhi tarikh akhir. Dalam tuntutan-tuntutan yang semakin mendesak, Faisal Tehrani memberikan sebuah penyudah yang tidak disangka.
Ulasan dari blog.
http://budakkilang.wordpress.com/2011/04/21/sebongkah-batu-di-kuala-berang-faisal-tehrani/
Sebongkah Batu Di Kuala Berang secara keseluruhannya adalah sejarah yang didokumentarikan dalam bentuk penulisan novel realistic untuk menyingkap sejarah dan asal usul kedatangan Islam yang asli dan tulen di Tanah Melayu. Doukumen catatan rasmi yang pertama dan terawal dijumpai ialah ‘Batu Bersurat’. Selain itu, hanyalah hikayat dan cerita-cerita lisan yang banyak dipertikaikan sumber dan kesahihannya.
Seperti mana kita ketahui pada hari ini, kedatangan Islam ke tanah Melayu telah mencetuskan banyak teori-teori untuk merungkai kejadian yang sebenar-benarnya, masih lagi misteri. Hingga kini, ia banyak bertindih dan bercanggah jika kita cuba memadankan antara teori dan bukti. Sebagai contoh, teori kedatangan Islam ke tanah melayu dari China, India, Tanah Arab ataupun Kepulauan Aceh sering dikaitkan dengan ketidaktepatan fakta bila dibandingkan dengan realiti semasa seperti perbezaan mahzab yang dianuti, jenis rujukan dalam kitab karangan ulama nusantara yang terdahulu seperti Hamzah Fansuri, Tun Seri Lanang, apatah lagi jika dirujuk kepada satu-satunya dokumen berbentuk tulisan yang dijumpai iaitu Batu Bersurat itu sendiri.
Faisal Tehrani menggarap naskah ini dengan sinis, bila kita dapat membayangkan watak-watak antogonis yang liar dari latar dan suasana jalan ceritanya meminjam cerekarama dunia perfileman Malaysia, selain dibangunkan sifat optimistik watak protagonis yang dibantu secara pro oleh watak deuteragonis.
Seperti Tuhan Manusia, karya ini lebih bersifat ilmuwan dan mendukung fakta-fakta yang banyak, mengajak kita sebagai pembaca untuk berfikir, menelaah dan menafsir.
|