|
Judul : Selagi Masih Muda (Kelok-Kelok Jalan Guru Cemerlang) Pengarang : Azizul Rahman Abdul Rahman Mohamad Saleeh Rahamad Penerbit : Utusan Publications & Distributors SDN BHD Genre : Antologi Cerpen Mukasurat : 313 Cetakan Pertama : 2010 ISBN : 9789676123305
Kecemerlangan tidak mungkin dicapai tanpa ujian. Sekurang-kurangnya, ujian masa, yang dapat membuktikan daya tahan. Selebih-lebihnya ujian upaya, antaranya darihal kemahiran, kepakaran, sahsiah, dedikasi, komunikasi, kreativiti, inovasi dan juga motivasi.
Bagaimanapun, tiada satu pun kisah yang dihimpunkan dalam antologi ini mendedahkan bahawa penulisnya mempunyai perancangan yang strategis untuk mencapai pangkat Guru Cemerlang. Senario ini memberikan isyarat yang signifikan dalam budaya kependidikan : Rahasia kecemerlangan yang paling mendasar ialah kejernihan jiwa yang memancarkan keikhlasan dan rasa kasih sayang akan anak didik sehingga mendorong sikap prihatin, mengatasi kepentingan diri.
Antologi yang merakamkan kelok seribu liku yang dilalui oleh Guru Cemerlang ini memaparkan kisah-kisah yang mengharukan, mencuit minda serta mengilhamkan. Sewajarnya pengalaman yang berharga ini dihayati oleh para pendidik dan pelajar, serta seluruh ahli masyarakat.
Cerpen "Selagi Masih Muda" yang menjuduli antologi ini melakarkan nyalaan obor semangat untuk mengoptimumkan nikmat usia, walau sesukar mana pun cabaran yang harus didepani.
Namun, bukankah kemudaan sesuatu yang relatif? Maka itu cerpen ini menyiratkan makna yang estetis tentang diri dan perjalanan masa, sebagai pesan yang beerti buat semua.
|