|
Judul : Tawarikh Cinta Pengarang : Nisah Haron Penerbit : Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd Genre : Novel Remaja Mukasurat : 265 halaman Cetakan Pertama : 2008 ISBN : 9789676121479
Sinopsis :
Karya ini berkisar pada cabaran yang harus dihadapi oleh dua pewaris kerajaan Ujana Madani, Putera Jauhari Firus dan Puteri Cempaka Wilis. Dalam tempoh menunggu hari pertabalan Putera Jauhari untuk menerajui tampuk pemerintahan, mereka diancam oleh kelompok pembelot yang terdiri daripada golongan pembesar yang diperkuda oleh musuh dari luar. Di samping itu, mereka juga dipertanggungjawabkan untuk mencari dan membawa pulang naskhah asal "Kitab Gemala Sakti" yang menjadi lambang keutuhan kerajaan Ujana Madani. Kitab tersebut berada di Temasik.
Ujana Madani dan Temasik ialah dua kerajaan yang wujud dalam dua dimensi waktu yang berbeza.
Novel ini memugar subjek siasah dengan menegaskan peri pentingnya kualiti yang harus ada pada pemimpin dan kepimpinannya.Dengan menampilkan watak-watak remaja yang disaluti kualiti tersebut, novel ini menawarkan motivasi kepada khalayak untuk memperlengkapkan diri sekiranya ingin menjadi pemimpin yang berwibawa.
"Tawarikh Cinta" juga mengangkat persoalan kepentingan pengisian ilmu dan pengalamannya tanpa mengira jantina dan kedudukan. Bagi mendalami ilmu sebagai pakaian hidup, sumber-sumber yang autentik dan berwibawa perlu dirujuk sebagai sumber teras.
Berjayakah Putera Jauhari Firus dan Puteri Cempaka Wilis mendapatkan kembali "Kitab Gemala Sakti" yang asal dan membawanya pulang ke Ujana Madani. Novel yang menguja daya taakulan pembaca ini menawarkan jawapannya.
|