|
Judul : Anjung Deklamator Pengarang : Rahman Shaari Penerbit : Pekan Ilmu Genre : Kumpulan Puisi Mukasurat : 122 halaman Cetakan Pertama : 2005 ISBN : 9832567807
Kumpulan puisi Anjung Deklamator karya Profesor Rahman Shaari, Ketua Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya ini menampilkan sejumlah karya yang merupakan sebahagian ilham cipta beliau, yang mengukuhkan gagasan deklamasi artistik yang dipelopori dan sedang diperkukuhkan olehnya itu.
Anjung Deklamator memuatkan 53 buah karya, mengandungi tiga petua deklamasi, di samping sebuah pengantar dan sebuah pendahuluan. Ertinya, kumpulan ini menyediakan pelbagai saranan yang cukup untuk mendekati apakah yang dinamakan Persembahan Puisi Artistik (PPA) itu. Rahman Shaari dalam hal ini menunjukkan bahawa beliau tidak pernah lokek ilmu, kerana apa- apa yang selalu diketengahkannya kepada khalayak diteguhkannya lagi dalam buku ini.
Panduan atau petua-petua deklamasi ini memberikan latar belakang, asas dan tunjuk cara yang sistematik serta mudah sebagai persiapan untuk sebarang acara deklamasi puisi artistik, sama ada secara kecil-kecilan atau untuk satu majlis besar, yang sesungguhnya kelihatan amat santai dalam keseriusannya.
Buku ini terbahagi kepada tiga bahagian, terdiri daripada Bahagian Pertama: Petua Pertama; yang memuatkan 33 buah karya yang cukup sesuai disampaikan dengan gaya artistik, dekon, dan menuntut persiapan rapi untuk tampil berjaya di pentas melalui gaya artistik. Manakala, Bahagian Kedua; Petua Kedua, mengandungi 16 buah karya merupakan karya-karya yang agak sederhana dekonnya. Bahagian Ketiga; Petua Ketiga pula yang mengandungi 20 buah karya lebih merupakan "puisi fikiran" kerana memberatkan isi daripada memberikan ruang kepada deklamasi secara artistik. Karya-karya dalam bahagian ini lebih menjurus untuk tujuan kajian dalam penelitian kritik.
Secara umum, puisi-puisi Rahman Shaari kelihatan bernada santai rata-ratanya. Di sana sini, Rahman berjenaka, bersahaja, memainkan baris dan menggubah rangkapnya sehingga puisi seperti tidak mengehendaki keseriusan.
Dr Lim Swee Tin - Dewan Sastera Oktober 2005
|