|
Judul : Apa Ada Di Sana Pengarang : Fatimah Busu Penerbit : Pustaka Nusa Genre : Kumpulan Puisi Mukasurat : 133 halaman Cetakan Pertama : 2004 ISBN : 9839456318
Apa Ada Di Sana Versi Dunia memuatkan 41 puisi karya Dr Fatimah Busu yang menggunakan bahasa mudah tetapi tetap sarat dengan ilmu dan pengajaran untuk pembaca peka.
Buku setebal 132 halaman terbitan Penerbitan Pustaka Nusa Sdn Bhd memuatkan puisi yang pernah ditolak salah sebuah penerbitan gergasi sastera di negara ini betapa pengkaryanya cuba berpijak di bumi nyata tanpa melupakan tradisi dirinya.
Dr Fatimah memulakan Apa Ada di Sana Versi Dunia dengan lagu tradisi orang Kelantan, Apa Ada Di Sana, seolah-olah untuk mengingatkan dirinya agar tidak melupakan akarnya dan serentak itu mendidik khalayaknya dengan khazanah bangsa.
Semua puisinya baik yang diberi warna setempat mahupun yang memperkatakan isu global manusia alaf ketiga ini diberi judul buku dalam usahanya mengumpan pembaca untuk meneruskan bacaan mereka.
Buku ini bukan saja sesuai dibaca peminat puisi tetapi juga pembaca umum kerana ia tidak banyak menggunakan bahasa tersirat di samping pemakaian nota kaki memudahkan khalayak mendapat maklumat berhubung perkara yang dibicarakan penyair.
Pemakaian nota kaki secara tidak langsung mendekatkan pembaca dengan tokoh sastera tempatan dan antarabangsa, teks moden dan klasik, pemimpin politik serta sejarah dunia yang berlangsung selama beberapa dekad.
|