|
Judul : Ayuh! Sahut Cabaran Pengarang : Robiah K. Hamzah, Fythullah Hamzah Penerbit : PTS Millennia Sdn Bhd Kategori : Remaja | Bantu Diri Mukasurat : 224 halaman Cetakan Pertama : 2006 ISBN : 9833603157
Petua Berkesan Menghadapi Dunia Mencabar
Remaja adalah golongan perantaraan antara yang muda dengan dewasa. Peringkat umur remaja dianggap golongan pendesak, pewaris khazanah dan harapan setiap bangsa dan negara.
Remaja yang mengalami masa peralihan, tanpa memikul sesuatu tanggungjawab, kini menuju kepada usia dewasa yang sibuk dengan persaingan dan perjuangan untuk kepentingan hidup. Dalam keghairahan ini, sebahagian remaja akan mengalami kegoncangan emosi, mencari identiti diri dan pegangan hidup.
Mereka juga pada hakikatnya sedang sibuk berjuang di dalam diri, kini berhadapan pula dengan keadaan sekitar yang kurang serasi, penuh kontradiksi dan ketidakstabilan. Keadaan itu akhirnya menyebabkan remaja memiliki kelainan-kelainan kelakuan sehingga membahayakan diri mereka sendiri sekiranya tidak dibantu. Ramai antara remaja yang tidak sanggup menumpukan perhatian terhadap pelajaran, hilang daya tumpuan, malas belajar, patah semangat dan kecewa. Hasil daripada senario ini, ramai pula remaja berkelakuan yang boleh membahayakan diri dan mengancam ketenteraman masyarakat.
Menyedari hakikat inilah penulis cuba memberikan panduan, demi menyelamatkan remaja daripada terperangkap dan terpenjara dalam dunia salah laku, salah tanggapan terhadap diri, masyarakat dan masa depannya. Sebagai wadah pembimbing kepada remaja, melalui naskhah panduan dan bimbingan dalam Galeri Bimbingan Remaja ini, penulis cuba menyarankan beberapa strategi yang boleh dicuba oleh remaja bagi mengurangkan kekeliruan jiwa dan sikap tidak yakin pada diri sendiri. Penulis memulakan siri keenam ini dengan mengetengahkan tajuk mengatasi masalah malu. Masalah malu adalah masalah yang menyinggah setiap remaja tanpa mengira umur, kaum, agama dan budaya.
Masalah malu yang tidak kena pada tempatnya boleh menggugat masa depan remaja. Kemudian diikuti dengan tajuk cabaran mengendalikan rasa bersalah. Masalah ini difikirkan penting kerana perasaan ini mengakibatkan remaja mengalami keadaan tidak selesa yang berpanjangan dan boleh mengancam per-sahabatan dan pergaulan remaja. Penulis juga mem-bekalkan cara bagi menyesuaikan diri dalam keadaan yang tidak selesa. Kejayaan menyesuaikan diri dengan keadaan dapat membantu remaja kelihatan tenang dan tenteram tampil pada mana-mana situasi.
Apabila remaja dapat menyesuaikan diri dengan baik, maka dengan mudah akan lahir sifat berani. Ini kerana keberanian mudah terbentuk dalam diri remaja sesudah remaja mendapat keyakinan diri. Keberanian juga diperlukan oleh remaja bagi menghadapi sebarang bentuk ujian dan dugaan hidup. Lagipun keberanian dianggap sebagai penghulu kepada semua sifat yang mulia yang dapat menjadi pendorong kepada setiap impian manusia. Remaja yang penakut pasti kecewa dan mungkin menghadapi masalah tekanan. Remaja yang berada dalam keadaan tekanan yang berpanjangan boleh menyebabkan gangguan kesihatan dan sekiranya terus tidak dibantu, remaja boleh diancam maut. Penulis cuba menyediakan bimbingan dalam persoalan berani dan mengendalikan tekanan dalam bahagian pertengahan buku ini.
Menyedari betapa seriusnya cabaran yang akan diterima dan dilalui oleh setiap remaja dalam proses mereka untuk menjadi dewasa, penulis membekalkan panduan dan bimbingan cara untuk membina hidup dewasa yang cemerlang sebagaimana yang diharapkan oleh negara. Khususnya berkaitan dengan cara membina dan menentukan matlamat serta cara mencapai matlamat dengan cemerlang.
Kecemerlangan tidak akan datang sendiri. Ia perlu dibina, diasuh dan diusahakan sehingga mencapai apa yang dicitakan.
Diharap panduan dan bimbingan awal ini dapat melahirkan generasi remaja yang cemerlang di dunia dan akhirat. Semoga ketujuh-tujuh buah buku dalam Galeri Bimbingan Remaja ini dapat memberi bimbingan yang khusus dan istimewa buat remaja dan dapat dimanfaatkan oleh semua remaja tanpa kecuali.
Kandungan
Bahagian 1 : Menghadapi Cabaran Malu
1 : Kenapa Mesti Malu? 2 : Punca Masalah 3 : Kesan Penyakit Malu 4 : Tanya Diri Sendiri 5 : Bagaimana Mengatasi Masalah?
Bahagian 2 : Mengendalikan Rasa Bersalah 6 : Kenapa Mesti Rasa Bersalah? 7 : Bersikap Positif 8 : Mengenal Pasti Penyebab Rasa Bersalah 9 : Bagaimana Mengatasi Masalah?
Bahagian 3 : Penyesuaian Diri 10 : Bijak Menyesuaikan Diri 11 : Komunikasi Masalah Penyesuaian Diri 12 : Kesan daripada Pandai Menyesuaikan Diri 13 : Langkah Penyesuaian Diri
Bahagian 4 : Menjadi Remaja berani 14 : Kenapa Mesti Berani? 15 : Bilakah Kita akan Berani? 16 : Keberanian Pemikiran dan Jiwa
Bahagian 5 : Menangani Ancaman Takut 17 : Kenapa Mesti Takut? 18 : Kesan Sifat Takut 19 : Bagaimana Mengatasi Perasaan Takut?
Bahagian 6 : Menghadapi Ujian dan Dugaan Hidup 20 : Kenapa Kita Diuji? 21 : Siapakah yang Diuji? 22 : Bagaimana Menangani Ujian dan Dugaan Hidup Bahagian 7 : Menghadapi Kekecewaan 23 : Apakah Punca Kekecewaan? 24 : Bahayanya Penyakit Kekecewaan 25 : Bagaimana Mengatasi Kekecewaan?
Bahagian 8 : Menghadapi dan Mengatasi Stres 26 : Kenapa Stres? 27 : Tanda-tanda Stres 28 : Bagaimana Mengatasi Masalah Tekanan?
Bahagian 9 : Membina Kehidupan Cemerlang 29 : Apa Itu Kejayaan? 30 : Pengalaman daripada Kegagalan 31 : Jaga Kualiti Hidup 32 : Bagaimana Bertindak ke Arah Cemerlang?
Bibliografi Biodata Pengarang
|