|
Judul : Berucap dengan Yakin Pengarang : Md. Izuddin Ali, Zetty Zahureen Mohd Yusoff Penerbit : PTS Millennia Sdn Bhd Genre : Motivasi Mukasurat : 201 halaman Cetakan Pertama : 2005 ISBN : 9833372805
Buku yang menerangkan bagaimana cara menyampaikan ucapan dengan baik. Ada pengucap yang mempunyai idea yang baik dikongsi bersama audiens tetapi cara penyampaiannya pada audiens pula kurang bersesuaian.
Pengucapan awam biasanya dikendalikan oleh mereka yang aktif dalam memberi ucapan sama ada motivasi dan sebagainya. Dalam beberapa majlis yang pernah kami hadiri, kadangkala terdapat beberapa individu daripada pihak pengurusan atasan dalam sesebuah organisasi yang besar tidak dapat menyampaikan ucapan dengan baik. Ada pengucap yang mempunyai idea yang baik dikongsi dengan audiens tetapi cara penyampaian pada audiens pula kurang bersesuaian. Apabila perkara ini berlaku, sudah tentulah orang bawahan sukar menerima mesej sebenar yang mahu disampaikan. Apabila mesej tidak kesampaian, maka matlamat yang hendak dicapai mungkin tidak dapat direalisasikan.
Kami harap buku ini dapat membantu pembaca meningkatkan keupayaan berucap dengan lebih baik supaya mesej dan hasrat yang hendak disampaikan diterima dengan baik oleh kumpulan sasaran. Perlu diingatkan, proses komunikasi itu dianggap berkesan sekiranya penerima maklumat itu memahami mesej yang disampaikan dan melakukan tindakan berdasarkan mesej yang sudah disampaikan.
Dalam buku yang dihasilkan ini, selain daripada membincangkan strategi pengucapan awam yang cemerlang, kami juga memberikan beberapa petua yang bersesuaian dengan masyarakat dan adab ketimuran kita supaya pengucap dapat menangani beberapa permasalahan yang timbul semasa berucap. Kadangkala, walaupun seorang pengucap itu benar-benar bersedia, ada beberapa perkara di luar dugaan dan kawalan pengucap juga boleh berlaku. Buku yang dihasilkan ini dapat dijadikan rujukan oleh pelbagai pihak seperti pihak pengurusan sesebuah organisasi, ahli politik, pemimpin persatuan dan masyarakat, pengacara majlis, pensyarah, guru, mahasiswa, pelajar dan sebagainya.
Dalam menghasilkan buku ini, selain daripada berteraskan pengalaman peribadi, kami juga membuat rujukan daripada beberapa buku pengucapan awam yang dihasilkan dari dalam dan luar negara. Dengan rujukan daripada sumber yang pelbagai ini, diharapkan buku ini benar-benar dapat membantu pembaca dalam memberikan pengucapan awam yang cemerlang.
Di akhir buku ini, kami juga memaparkan beberapa kisah yang dialami oleh pengucap di negara kita untuk dijadikan iktibar dalam mengendalikan pengucapan awam. Kisah-kisah benar ini walaupun nampak remeh tetapi sekiranya tidak diambil berat, boleh memberikan mudarat yang besar kepada pengucap.
Akhirnya, kami mahu mengucapkan ribuan terima kasih di atas sokongan dan galakkan yang sentiasa diberikan oleh orang-orang yang rapat dengan kami seperti Roziah Shafiai, Haslida Abd Rashid, Mohd Rafi serta ahli keluarga kami. Kami juga mahu merakamkan penghargaan kami kepada pihak pengurusan UiTM Terengganu terutamanya Prof. Madya Dr. Hj. Mustaffa Mohd Zain selaku Pengarah UiTM Terengganu yang sentiasa menggalakkan pensyarah-pensyarah meningkatkan produktiviti hasil kerja (penyelidikan, menulis buku dan sebagainya) serta timbalan-timbalan pengarah dan rakan-rakan seperjuangan dalam menghasilkan buku ini.
Kandungan
Bahagian 1 Kepentingan dan Proses Pengucapan Awam 1. Pengenalan 2. Kepentingan Berucap 3. Proses Pengucapan Awam
Bahagian 2 Strategi Persiapan Berucap yang Tersusun 4. Pengenalan 5. Persiapan Sebelum Berucap 6. Melakar dan Merangka Ucapan
Bahagian 3 Strategi Latihan Berucap yang Dinamik 7. Pengenalan 8. Latihan Berucap
Bahagian 4 Petua Menangani Masalah Gemuruh 9. Pengenalan 10. 19 Petua 11. Petua Menjaga Suara
Bahagian 5 Strategi Berucap yang Dikagumi 12. Pengenalan 13. Ciri-ciri Pengucap yang Cemerlang 14. Strategi Semasa Berucap 15. Aktiviti-aktiviti Ringan
Bahagian 6 Strategi Menangani Masalah Semasa Berucap 16. Pengenalan 17. Panduan Menangani Masalah
Bahagian 7 Perkara yang Perlu Dielakkan oleh Pengucap Cemerlang 18. Pengenalan 19. Halangan Menjadi Pengucap Cemerlang 20. Soalan-soalan Mengenal Pasti Adakah Kita Pengucap Cemerlang
Bahagian 8 Jenis-jenis Ucapan 21. Pengenalan 22. Sembilan Jenis Ucapan 23. Panggilan Hormat
Bahagian 9 Kisah Benar... Pengucapan Awam 24. Pengenalan 25. 13 Kisah Benar
|