|
Judul : Ekspresi Kursus Bahasa Melayu Pengarang : Mat Zaid Hussein Penerbit : Penerbit Universiti Malaya Genre : Ilmiah Mukasurat : 135? halaman Cetakan Pertama : 2003 ISBN : 9831001575
Ekspresi merupakan teks berkonsepkan buku teks dan buku kerja yang dirumus khusus bagi menyediakan bahan pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu terkini untuk membolehkan pelajar menguasai kemahiran berbahasa dan berkomunikasi. Kaedah penyusunan buku ini yang menggunakan pendekatan interaktif dan komunikatif dihasilkan sesuai untuk pelajar-pelajar yang ingin mempelajari dan menguasai kemahiran berbahasa dan berkomunikasi dalam bahasa Melayu dengan lebih cekap dan berkesan, khususnya kalangan pelajar-pelajar asing yang berinisiatif tinggi mempelajari bahasa Melayu sebagai bahasa kedua.
Komponen pelajaran yang terkandung dalam Ekspresi dipilih dan disusun berdasarkan strategi serta pendekatan pintar bagi membolehkan pefajar-pelajar mudah menguasai empat kemahiran berbahasa yang utama iaitu kemahiran membaca, bertutur, menulis dan mendengar. Pemilihan bahan pelajaran juga mengambil kira keperluan mustahak dalam meningkatkan pengetahuan di samping berupaya merangsang minat pelajar, khususnya pelajar-pelajar asing semasa mempelajari bahasa Melayu.
Elemen utama pemilihan dan penyusunan sukatan pelajaran dalam Ekpresi yang berasaskan kaedah integrasi bukan sahaja menggabungkan pelbagai komponen bahasa dan linguistik seperti penyebutan. pengejaan, pengayaan bahasa, makna perkataan dan rangkai kata, binaan frasa serta ayat dan sebagainya, malah juga menggabungjalinkan pelbagai aspek kemahiran penggunaan bahasa untuk tujuan aktiviti interaksi sosial seperti kemahiran lisan dan komunikasi, memahami ragam bahasa. mengemukakan pertanyaan dan pendapat, merumuskan idea dan sebagainya.
Dalam setiap komponen sukatan pelajaran disediakan pelbagai aktiviti yang menarik dan sesuai untuk merangsang minat pelajar serta meningkatkan keberkesanan proses pembelajaran bahasa di dalam kelas. Penggunaan ayat dan latihan dalam Ekpresi terdiri daripada komponen ayat bermaklumat dan mengandungi fakta yang dapat memberi pengetahuan kepada pelajar. Justeru, selain daripada mampu meningkatkan kemahiran berbahasa dan berkomunikasi pelajar, Ekspresi juga dihasilkan dengan mengambil kira kepentingan untuk memberi maklumat serta menambahkan pengetahuan di kalangan pelajar.
Ekspresi dikira mampu memenuhi keperluan mustahak dalam bidang pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu khususnya bagi tujuan pengajaran bahasa Mefayu sebagai bahasa kedua kepada penutur-penutur asing. Penggabungan pelbagai elemen kemahiran bahasa bertujuan meningkatkan keupayaan serta kebolehan pelajar menguasai kedua-dua kemahiran utama iaitu lisan dan bukan lisan. Justeru, Ekspresi dapat memenuhi objektif bagi membolehkan pelajar-pelajar menguasai kemahiran berbahasa. antara lainnya seperti berikut:
- meningkatkan kemahiran membaca, bertutur, menulis, mendengar, berfikir, memberi pendapat dan sebagainya - membincang isu tertentu serta menyelesaikan masalah - menggunakan kosa kata serta ungkapan yang sesuai berdasarkan konteks atau situasi tertentu - memahami dan menginterpretasi makna perkataan, rangkai kata atau ungkapan berdasarkan lingkungan penggunaan, persekitaran budaya serta perlakuan sosial yang sebenar.
Ekspresi mengandungi 12 bab dan setiap bab mengandungi enam unit yang terdiri daripada komponen kemahiran tertentu.
Unit 1 terdiri daripada komponen bacaan dan pemahaman. Unit ini mengandungi petikan yang diubahsuai daripada pelbagai sumber serta mencakupi pelbagai jenis penulisan seperti rencana, forum, laporan, prosa dan puisi.
Unit 2 terdiri daripada komponen pengayaan bahasa. Unit ini mengandungi bahan pelajaran tentang komponen perkataan dan rangkai kata seperti jenis perkataan, perkaitan kata dan makna, ungkapan, rangkai kata dan sebagainya.
Unit 3 terdiri daripada komponen tatabahasa. Unit ini mengandungi bahan pelajaran tentang pelbagai aspek tatabahasa dan mampu berfungsi sebagai komponen pelengkap kepada kemahiran berbahasa dan berkomunikasi pelajar.
Unit 4 terdiri daripada komponen kemahiran berbahasa. Unit ini disusun khusus untuk membolehkan pelajar menguasai kemahiran berbahasa dan memahami penggunaan bahasa dalam situasi sebenar. Beberapa aspek kemahiran berbahasa seperti penggunaan bahasa berdasarkan situasi atau keadaan nyata, penyampaian idea, maklumat, pendapat, pernyataan alasan, pernyataan perasaan dan sebagainya diberi penekanan dalam bahagian ini.
Unit 5 terdiri daripada komponen ragam bahasa. Unit ini memperkenalkan pelajar dengan pelbagai ragam dan gaya bahasa dalam bahasa Melayu seperti gaya lisan dan penulisan, ekspresi bahasa berdasarkan situasi atau aktiviti tertentu, ragam bahasa pasar atau perbualan sehari-hari, ragam bahasa Melayu lama dan moden, bahasa kiasan atau perumpamaan dan sebagainya.
Unit 6 terdiri daripada komponen lisan dan penulisan. Unit ini mendedahkan pelajar dengan aktiviti kemahiran lisan dan perbincangan, baik secara individu mahupun berpasangan atau berkumpulan. Unit ini memberi peluang kepada pelajar meningkatkan kemahiran menyampaikan hujah dan bertutur dengan lancar dan berkesan berpandukan topik-topik perbincangan tertentu dalam lingkungan pengetahuan dan pengalaman pelajar. Aktiviti penulisan secara praktikal membolehkan pelajar menguasai kemahiran menulis dengan baik dan berkesan. Kaedah pembelajaran seperti menceritakan pengalaman, adat resam dan budaya, menyampaikan aduan dan laporan, memberi pendapat, menyelesaikan masalah dan sebagainya diberi penekanan kepada pelajar-pelajar.
Ekpresi dirangka sesuai untuk digunakan sebagai bahan utama dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam kelas bagi tempoh antara 80- 120 jam pertemuan.
Ekspresi mampu menjadi penghubung antara suasana pembelajaran dalam kelas dengan lingkungan persekitaran dunia luar kepada pelajar-pelajar di samping membolehkan mereka menggunakan kemahiran, pengetahuan serta pengalaman yang dipelajari untuk berkomunikasi dan menggunakan bahasa Melayu dalam pelbagai bidang atau situasi dengan tepat, yakin dan berkesan.
Penerbitan Ekspresi diharap dapat membantu guru-guru yang terlibat dalam pengajaran bahasa Melayu khususnya kepada penutur-penutur asing dapat merancang kaedah serta aktiviti pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu dengan lebih menarik dan berkesan. Bagi pelajar-pelajar pula diharap mereka dapat memanfaatkan pengetahuan dan pengalaman mempelajari bahasa Melayu menerusi bahan pelajaran dan juga aktiviti menarik yang disediakan dalam buku ini bagi meningkatkan kemahiran berbahasa serta berkomunikasi dengan lebih berkesan, terutama dalam situasi sebenar di luar kelas. Selain itu, ia juga akan membolehkan pelajar mempelajari dan memahami penggunaan bahasa Melayu berdasarkan konteks atau situasi sebenar, berhubung kait dengan pengalaman dan kehidupan seharian, kehidupan bermasyarakat, pekerjaan, kebudayaan sebagainya.
?
Kandungan
Pelajaran 1 1.1 Bacaan dan Pemahaman: Perbualan -Kenali Malaysia 1.2 Pengayaan bahasa: Maksud perkataan dan aktiviti/situasi berkaitan 1.3 Tatabahasa:Jenis perkataan 1.4 Kemahiran berbahasa: Membina ayat berdasarkan situasi 1.5 Ragam bahasa: Bahasa Gaya Dewan 1- Penggunaan frasa 1.6 Lisan dan penulisan: Catatan pengenalan
Pelajaran 2 2.1 Bacaan dan pemahaman: Perbualan -Citra Malaysia 2.2 Pengayaan bahasa: Jenis kata bilangan 2.3 Tatabahasa: Kata sendi nama 2.4 Kemahiran berbahasa: Bertanya dan mendapat maklumat 2.5 Ragam bahasa: Bahasa Gaya Dewan II 2.6 Lisan dan penulisan: Adat resam dan amalan tradisi
Pelajaran 3 3.1 Bacaan dan Pemahaman: Ekspedisi Sungai -laluan Penarikan 3.2 Pengayaan bahasa: Kata dasar dan kata terbitan 3.3 Tatabahasa: Golongan kata kerja 3.4 Kemahiran berbahasa: Menyatakan alasan 3.5 Ragam bahasa: Cakap ajuk dan Cakap pindah 3.6 Lisan dan penulisan: Menulis rumusan
Pelajaran 4 4.1 Bacaan dan Pemahaman: Promosi masakan -Menu hidangan 4.2 Pengayaan bahasa: Penanda Wacana/Frasa kesinambungan 4.3 Tatabahasa: Kata hubung -gabungan dan pancangan 4.4 Kemahiran berbahasa: Pernyataan perasaan 4.5 Ragam bahasa: Ekspresi dan ragam ujaran 1 4.6 Lisan dan Penulisan: Promosi kegiatan atau perkhidmatan
Pelajaran 5 5.1 Bacaan dan Pemahaman: Forum Pembaca -Membuat Aduan 5.2 Pengayaan bahasa: Kata sinonim (sama erti) 5.3 Tatabahasa: Kata hubung berpasang 5.4 Kemahiran berbahasa: Pernyataan sebab dan akibat (alasan) 5.5 Ragam bahasa: Ekspresi bahasa dan ragam ujaran II 5.6 Lisan penulisan: Menyediakan aduan dan pendapat
Pelajaran 6 6.1 Bacaan dan Pemahaman: Laporan Sukan -Juara Piala Malaysia 6.2 Pengayaan bahasa: Ungkapan dan rangkai kata 6.3 Tatabahasa: Imbuhan awalan -akhiran peN -an 6.4 Kemahiran berbahasa: Memberikan pendapat atau pandangan 6.5 Ragam bahasa: Simpulan bahasa daripada kata 'hati' 6.6 Lisan dan: Rumusan bahan statistik
Pelajaran 7 7.1 Bacaan dan pemahaman: Khazanah hidupan liar -Penyu Belimbing 7.2 Pengayaan bahasa: Binaan kata majmuk 7.3 Tatabahasa: Imbuhan awalan kata kerja: meN- 7.4 Kemahiran berbahasa: Menjawab teka silang kata 7.5 Ragam bahasa: Bahasa Melayu Klasik 7.6 Lisan dan penulisan: Penyampaian Ucapan / ceramah / syarahan
Pelajaran 8 8.1 Bacaan dan Pemahaman: Eko-Pelancongan -Taman Pertanian 8.2 Pengayaan bahasa: Kata seakan / hampir sama sebutan 8.3 Tatabahasa: Imbuhan kata kerja transitif 8.4 Kemahiran berbahasa: Menyatakan permintaan / keinginan/ harapan 8.5 Ragam bahasa: Ragam bahasa pasar / dialek / slanga 8.6 lisan dan perbincangan: Menulis laporan aktiviti
Pelajaran 9 9.1 Bacaan dan Pemahaman: Laporan berita -Pendaratan cemas 9.2 Pengayaan bahasa: Membina frasa atau rangkai kata 9.3 Tatabahasa: Binaan ayat tunggal atau ayat selapis 9.4 Kemahiran berbahasa: Buat ayat / pernyataan berdasarkan situasi / lokasi 9.5 Ragam bahasa: Bahasa puisi tradisional -Pantun 9.6 Lisan dan penulisan: Kerjaya pilihan
Pelajaran 10 10.1 Bacaan dan pemahaman: Laporan ekonomi -belanjawan 10.2 Pengayaan bahasa: Kata gandaan 10.3 Tatabahasa: Pola ayat dasar 10.4 Kemahiran berbahasa: Mengubahsuai / menulis semula struktur ayat 10.5 Ragam bahasa: Bahasa kreatif -puisi sajak 10.6 Perbincangan dan Penulisan: Ulasan / laporan -Masalah / isu semasa
Pelajaran 11 11.1 Bacaan dan pemahaman: Karya kreatif -prosa 11.2 Pengayaan bahasa: Kata banyak makna (Homonim) 11.3 Tatabahasa: Bentuk ayat tanya 11.4 Kemahiran berbahasa: Pemaknaan dan penggunaan kamus 11.5 Ragam bahasa: Simpulan bahasa dan perumpamaan 11.6 Lisan dan penulisan: Penulisan prosa -cerpen / novel / drama
Pelajaran 12 12.1 Bacaan dan pemahaman: Khasiat tumbuhan herba 12.2 Pengayaan bahasa: Kata akronim (akronim suku kata) 12.3 Tatabahasa: Ayat majmuk 12.4 Kemahiran berbahasa: Bijak berpendapat, pintar berhujah 12.5 Ragam bahasa: Bahasa kiasan dan perbandingan 12.6 Lisan dan penulisan: Persoalan dan penyelesaian
|