|
Judul : Hidup Sebagai Sebuah Akademi Pengarang : Mohd Syarafuddin Sulaiman Penerbit : PTS Millennia Sdn Bhd Kategori : Remaja | Bantu Diri Mukasurat : 223 halaman Cetakan Pertama : 2006 ISBN : 9833603025
Suatu hari, cikgu saya bertanya kepada seluruh kelas, ?Kamu mahu jadi apa??
Tentu sekali ini soalan biasa. Di mana-mana sekolah pun, tidak kira sekolah rendah ataupun sekolah menengah, kita akan ditanya soalan itu. Saya pun berkira-kiralah mahu jawab apa. Masa kecil, saya rasa saya mahu jadi polis, bomba ataupun askar. Waktu soalan itu ditanya semula, saya sudah di sekolah menengah. Saya sudah mahu kerja lain pula.
Saya berkira-kira antara doktor, peguam ataupun jurutera. Mungkin peguam boleh dikecualikan sebab kata cikgu, peguam itu jahat. Mereka suka membela orang yang salah dan memutar belit kata. Saya lebih cenderung memilih jurutera daripada doktor. Sebabnya saya terbayang watak yang tampan bergaya, segak dalam pakaian kerja.
Waktu itu saya langsung tidak sedar jurutera-juruteralah yang mencipta bom nuklear dan mesingan. Mereka pun boleh jadi jahat juga. Saya sudah menetapkan pilihan saya. Saya mahu jadi jurutera. Oleh sebab waktu untuk saya menjawab belum tiba, saya lihat sekeliling dan dengar jawapan daripada rakan-rakan saya. Beragam tetapi tidaklah berbeza benar. Jurutera aero-angkasa, jurutera elektronik, jurutera awam, dan segala macam jurutera lagi. Kemudian saya belajar pula mengenai bidang-bidang kedoktoran yang ada melalui cita-cita rakan-rakan saya. Saya rasa malu. Saya cuma tahu mahu jadi jurutera, tetapi tidak pasti jurutera apa. Sedang saya sambung berkira-kira bab jurutera apa, saya mendengar tawa yang berdekah-dekah dan panjang daripada teman-teman.
?Boleh kamu ulang sekali lagi?? Cikgu saya memang begitu. Serius selalu. ?Saya mahu jadi orang,? itu jawab rakan saya. Muka dia selamba tetapi saya tahu dia serius.
Kemudian tawa pun pecah sekali lagi. Ada yang begitu geli hati hinggakan keluar air matanya. Macam-macam komen kedengaran; semua pun orang, gila apa engkau, seriuslah sikit.
Cikgu saya nampak tidak gembira. Marah setepatnya. Rakan-rakan pula riuh-rendah. Dua-dua itu pun menunjukkan rasa tidak puas hati kepada jawapan 'mahu jadi orang' itu.
Lain pula dengan saya. Saya teruja. Saya fikir betapa manusia mahu jadi macam-macam. Burung, ikan, Superman dan entah segala macam lagi, tetapi tiada seorang pun mahu jadi orang. Macam-macam idea berpusing dalam kepala. Haruan makan anak? Sebab tidak jadi orang. Bertindik di hidung macam lembu? Sebab tidak mahu jadi orang. Makan benda kotor termasuklah rasuah? Juga sebab tidak mahu jadi orang.
Alangkah indahnya apabila manusia sedar dia itu orang dan berusaha menjadi orang.
Sebab itu saya menulis buku ini. Tentang orang. Kita terlalu mendongak langit dan menggali bumi sampai kita lupa kita ini orang.
Orang semuanya biasa. Ada lebih, ada kurangnya. Tiada yang lebih, tiada yang kurang. Tiada yang istimewa dan tiada yang hina.
Mudah kata, Hidup Sebagai Sebuah Akademi ini adalah untuk semua. Semua yang masih mahu jadi manusia. Tidak kiralah siapa dia. Awak ataupun saya?
Kandungan
Teks 1 Kenapa Kita? Pelajaran 1 : Bermulanya Sebuah Kehidupan
Teks 2 Jom ke Akademi Pelajaran 2 : Yang Ini Kita Kena Ada Pelajaran 3 : Kaulah Sahabat, Kaulah Teman Pelajaran 4 : Mana Mahu Cari Mentor? Pelajaran 5 : Saya Hidup untuk Ini
Teks 3 Syarat di Akademi Pelajaran 6 : Lain Orang Suruh, Lain Kita Hendak Buat Pelajaran 7 : Menjadi Superhero Pelajaran 8 : Hidup Ini Bukan Seorang Sahaja
Teks 4 Kelas Pelajaran 9 : Lihatlah Duniaku! Pelajaran 10 : Rehatlah Pula Pelajaran 11 : Falsafah; Bukan Sampah! Pelajaran 12 : Amboi, Relaksnya!
Teks 5 Tuisyen Pelajaran 13 : Majulah Sukan untuk Semua Pelajaran 14 : Kalau Mahu Gembira Beginilah Caranya Pelajaran 15 : Satu Dunia Hatiku Jaga Pelajaran 16 : Tengok di Sekitar Kita, Tetapi Tolong Jaga Pandangan Pelajaran 17 : Ekspresi Dirimu Pelajaran 18 : Tengok Alam, Cari Pedoman
Teks 6 Ulang Kaji Pelajaran 19 : Kulihat-lihat, Kutenung-tenung Pelajaran 20 : Cermin Diri Sendiri Pelajaran 21 : Tibalah Masanya!
Teks 7 Peperiksaan Pelajaran 22 : Hari Ini Mahu Buat Apa, Ya? Pelajaran 23 : Tanya Sama Diri Pelajaran 24 : Sana Masalah, Sini Pun Masalah Pelajaran 25 : Kenapa Kita Diuji?
Teks 8 Keputusan Pelajaran 26 : Saya Berjaya! Pelajaran 27 : Tahniah, Kamu Menang! Pelajaran 28 : Mana Cukup, Kena Tambah Lagi! Pelajaran 29 : Tamat Sudah Pelajaran Kita
|