|
Judul : Impian Tsu Ryi Pengarang : Nisah Haji Haron Genre : Kumpulan Cerpen Penerbit : Nisah Haji Haron Mukasurat : 185 halaman Cetakan Pertama : 2002
Jika pengarah Steven Spielberg dan George Lucas dikenali dengan filem-filem fantasi mereka, E.T dan Star Wars, penulis J.K Rowling pula dikenali dengan novel bersiri Harry Potternya yang berunsurkan alam magis bercampur sedikit fantasi. Di Malaysia, kita bangga dengan Aziz M. Osman yang telah menghasilkan filem fantasi yang tidak kurang hebatnya. Kita juga punya penulis yang dikenali sebagai penulis karya fantasi. Tiga orang penulis yang saya kenali berbakat dalam menghasilkan karya jenis ini ialah Dr Rahmat Haroun, Ahmad Patria Abdullah dan Nisah Haji Haron. Namun yang paling konsisten antara mereka bertiga pada masa ini dalam menghasilkan karya ialah Nisah Haji Haron. Hasilnya maka lahirlah kumpulan cerpen ini, Impian Tsu-Ryi.
Sebenarnya Nisah mula saya kenali ketika beliau menghantar karyanya di Dewan Siswa. Tidak sukar untuk mencari karya ini di celah-celah beratus-ratus karya yang dihantar kerana Nisah ada keistimewaannya yang tersendiri. Karya Nisah biasanya mengatasi mutu karya-karya lain dan membawa mesej yang tersendiri serta tidak mengikut arus biasa.
Karya Nisah bukan sahaja berbeza kriterianya daripada karya yang lain, malah penulis ini memenuhi syarat yang cukup untuk menjadi seorang penulis yang baik. Beliau istimewa kerana kreativitinya menghasilkan jalan cerita yang baik, susunan dari plot ke plotnya yang rapi, penggunaan dialognya yang kemas dan tidak membazir serta pemilihan istilahnya yang tepat. Namun yang paling penting ialah Nisah bijak menggunakan penguasaan ilmu yang dimilikinya dalam hampir kesemua karyanya iaitu bidang sains dan undang-undang yang diadun dengan baik mengikut imaginasinya yang tinggi.
Hampir kesemua cerpen fantasinya berlaku di seluruh alam maya ini. Di udara, di bumi, di dasar laut dan di planet yang jauh. Perjalanan, penceritaan latarnya juga disesuaikan dengan jalan cerita iaitu alam fantasi bercampur aduk dengan fiksyen sains. Inilah juga kelebihan Nisah.
Nisah juga mencuba untuk melarikan diri seketika daripada dunia fiksyen dan fantasinya, tanda sudah mencapai usia dewasanya. Sekali lagi realiti ceritanya diadun kemas dengan menggunakan penguasaan ilmunya iaitu undang-undang. Pantas sekali beliau menggunakan latar seorang peguam, majistret dan hakim dan pembaca kadangkala dibawa berbahas tentang undang-undang. Dan karya yang dihasilkan begini juga telah menarik para juri di beberapa pertandingan di peringkat kebangsaan untuk diberikan pengiktirafan.
Ternyata Nisah bijak menggunakan ilmu yang ada untuk menghasilkan karyanya. Dan penulis muda yang bergelar peguam ini ternyata juga tidak mensia-siakan bakatnya sebagai penulis. Karya beliau perlu diperhatikan pada masa akan datang kerana peningkatan penulisannya semakin menampakkan kematangannya. Malah Nisah boleh juga ditonjolkan sebagai penulis fiksyen sains dan fantasi yang berjaya jika beliau boleh menghasilkan novel berbentuk demikian di masa hadapan. Dan tidak mustahil beliau boleh setanding dengan J.K. Rowling yang terkenal dengan novel bersiri Harry Potternya itu.
Selamat membaca!
Zaiton Abu Samah Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur
Kandungan
Proses Penciptaan
Kata Pengantar
1. Di Sebalik Wajahmu, Aries 2. Atlantis, Duniaku Duniamu 3. Penawar Astrid 4. Annyss Sophilea 5. Annyss Sophilea, Puteriku 6. Anugerah Amariss 7. Dua Dekad Pertama 8. Pintu Senja Eur Durantis 9. Lagenda Vigna Y'Drina 10. Istimewa Dari Cenma Detara 11. Geminis II : Sentuhan Tragedi 12. Hardanna 13. Impian Tsu-Ryi 14. Afidavit Emosi 15. Puisi Akhir Musim Bunga
|