|
Judul : Kamus Pekan Ilmu Pengarang : Rahman Shaari Penerbit : Pekan Ilmu Publications Sdn Bhd Genre : Kamus Mukasurat : 390 halaman Cetakan Pertama : 2004 ISBN : 983256753x
Seorang guru bahasa Inggeris yang mahir, ada mengatakan bahawa membaca kamus itu baik. Saya belum pernah mendengar saranan agar seseorang membaca kamus, dalam erti kata duduk di satu tempat, buka kamus dan baca. Menurut fahaman saya, kamus dihasilkan untuk dirujuk, bukan dibaca. Dalam membuat rujukan, makna hendaklah dicari mengikut keperluan. Ertinya, saya memahami bahawa kamus tidak dibaca seperti orang membaca buku cerita atau buku ilmiah.
Pandangan saya berubah setelah guru itu, Sharif Shaary namanya, mengemukakan saranannya, dan berhujah tentangnya. Saya mempercayai kebijaksanaannya dalam hal ilmu jadi saya meyakini cadangannya itu. Menurutnya, merujuk pun membaca juga. Dia menyarankan agar saya menghasilkan kamus yang dapat menimbulkan minat membaca terus menerus di kalangan pelajar dan pembaca umum. Menurutnya, dia juga akan mengusahakan kamus yang sedemikian, tetapi tentulah dengan pendekatan yang berbeza. Menurut Sharif lagi, seseorang pelajar (atau sesiapa saja) akan dapat berbahasa Inggeris (dapat bertutur dan menulis) sekadarnya, jika dia memahami 500 patah perkataan Inggeris sedalam-dalamnya.
Tidak sukar untuk sesiapa menguasai 500 patah perkataan Inggeris, dan telah pun ditegaskan bahawa jumlah itu akan segera meningkat. Saya sendiri tidak begitu berminat terhadap angka-angka, jadi jumlah perkataan dalam buku ini bukanlah 500 atau 5000. Angka yang disebutkan oleh Sharif itu hanyalah sandaran sementara untuk mengukur keupayaan sesorang dalam penguasaan bahasa Inggeris.
Kamus ini merupakan lanjutan kepada kamus-kamus lain. Fungsinya sama, tetapi penekanan kepada pembacaan seperti yang disarankan oleh guru bahasa Inggeris yang berpengalaman itu adalah satu pendekatan yang dianggap agak lain dan dikira berkesan. Keberkesanan ini bergantung pada kesungguhan pembaca mengikut arahan dan mengambil berat terhadap keterangan yang diberikan. Arahan dan keterangan itu (untuk sejumlah masukan) berada di bawah tajuk Nota.
Perlu juga disentuh, bahawa terdapat sejumlah contoh yang berupa kisah jenaka dan dialog lucu dalam buku ini. Tujuannya ialah untuk mengekalkan minat terhadap pembacaan. Seperti yang disebutkan oleh Profesor Ungku Aziz, kejenakaan dapat ditimbulkan melalui kisah yang berbau erotik, dan idea-idea tentang kemustahilan, kecacatan dan bunyi. Menggunakan unsur lucu dalam usaha menggalakkan 'pembacaan kamus' mungkin merupakan perkembangan baru. Bagi saya aplikasi idea tersebut adalah untuk maksud pengukuhan. Ini bererti saya mengiktirafkan keperluan komedi dalam pengajaran dan pembelajaran. Seseorang akan berasa gembira mempelajari sesuatu jika gurunya pandai berjenaka. Saya melaksanakan pembaharuan ini dengan penuh keyakinan.
Selain itu, saya juga memikirkan bidang ilmu dan kaitannya dengan perkataan yang dipilih. Perkataan demand misalnya, yang digunakan secara biasa dalam perbualan dan penulisan, adalah juga satu istilah dalam Ilmu Ekonomi. Ketika mempelajari Ilmu Ekonomi seseorang mungkin menemukan istilah demand curve, manakala dalam penggunaan biasa dia mungkin menemukan ayat figuratif This kind of work demands patience. Ilmu- ilmu lain yang dirujuk dalam usaha menyiapkan kamus ini ialah Linguistik, Psikologi, Psikoanalisis, Biologi, Perubatan dan beberapa lagi.
llustrasi yang dimuatkan dalam kamus ini juga diharap dapat membantu pembaca menghayati perkataan. Kita tahu bahawa perkataan dapat dijelaskan melalui perkataan juga, tetapi sesekali elok juga penjelasan ditambah dengan bantuan ilustrasi. Kesemua ini adalah untuk dimanfaatkan oleh pembaca hingga ke tahap yang setinggi-tingginya.
-Professor Rahman Shaari-
|