|
Judul : Keinginan Kecil Di Celah Daun Pengarang : Saroja Theavy Balakrishnan Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka Genre : Kumpulan Cerpen Mukasurat : 243 halaman Cetakan Pertama : 2003
Sinopsis :
Penglibatan penulis bukan Melayu dalam penciptaan karya sastera kreatif semakin menyerlah pada dekad terakhir abad ke-20. Antara nama yang menonjol ialah Saroja Theavy Balakrishnan yang telah memenangi pelbagai hadiah seperti Hadiah Cerpen Maybank - DBP, Hadiah Sastera Utusan Melayu - Public Bank dan Hadiah Cerpen Formula Malaysia. Pada tahun 1997, kumpulan cerpen beliau yang pertama berjudul Gemerlapan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kini muncil kumpulan cerpen yang kedua, "Keinginan Kecil di Celah Daun" bagi memperkukuh lagi jati dirinya sebagai penulis cerpen yang berbakat dan berdaya tahan.
Dalam kumpulan cerpen ini, Saroja bercerita tentang gelojak, masalah dan aspirasi kaum India dalam kehidupan masyarakat majmuk di Malaysia seperti keruntuhan moral generasi muda, ketagihan menonton filem Tamil, perubahan cara hidup apabila ladang getah dimajukan menjadi padang golf, masalah air di kawasan setinggan, kepercayaan tentang roh orang mati yang kembali menziarah keluarganya, masalah orang tua yang diabaikan oleh anak-anak dan kisah wanita India yang hendak membeli tanah tapak perkuburan orang Cina.
"Keinginan Kecil di Celah Daun" yang mengandungi 16 cerpen terpilih Saroja boleh dianggap sebagai satu lagi kejayaan penulis bukan Melayu dalam persada kesusasteraan kebangsaan di tanah air yang mempunyai masyarakat pelbagai kaum.
|