|
Judul : Ketokohan AI-Ghazzali dalam Bidang Logik Pengarang : Mohd Fauzi Hamat Penerbit : Penerbit Universiti Malaya Genre : Ilmiah Mukasurat : 175 halaman Cetakan Ketiga : 2005 ISBN : 9831002474
Kejayaan seseorang tokoh pemikir Islam seperti al- Ghazzali menghasilkan karya ilmiah bagi menjelaskan kepada umum tentang kaedah dan metodologi kajian ilmiah yang bukan sahaja tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip ajaran al-tawhid, tetapi juga boleh dimanfaatkan dengan cara yang sebaiknya dalam perbahasan ilmu-ilmu Islam tentu sekali membayangkan ketokohannya yang unggul dalam sesuatu bidang ilmu pengetahuan yang diceburinya. Al-Imam al- Ghazzali adalah seorang tokoh yang telah terlibat secara langsung dengan disiplin-disiplin ilmu berkaitan dengan Pemikiran Islam seperti Falsafah, termasuk Logik, Ilm al-Kalam, Usul al-Fiqh dan al-Tasawwuf Keupayaan beliau menguasai pelbagai disiplin ilmu Islam membuktikan bahawa beliau merupakan seorang tokoh berpemikiran mantap dan dalam konteks disiplin Logik, beliau diyakini telah berjaya menguasainya dengan baik. Banyak karya ilmiah yang telah dihasilkan oleh al-Ghazzali dalam bidang Logik dan karya- karya tersebut menjadi bahan rujukan asas bagi pengajian Logik yang berlangsung sama ada dalam sistem pendidikan formal atau sebaliknya.
Al-Ghazzali menjadi perintis kepada usaha mempertautkan disiplin ilmu Islam dengan disiplin Logik yang menjadi manhaj kepada Falsafah Greek. Penolakan beliau terhadap beberapa aspek Falsafah yang dilihatnya tidak serasi dengan ajaran akidah Islam tidak menghalang beliau untuk menggerakkan usaha mumi ini yang lahir daripada tanggapan positif beliau terhadap disiplin Logik yang merupakan manhaj warisan peninggalan Aristotle dan sesetengah buah fikiran kumpulan Stoik (Arab: al-Rawaqiyyun; Inggeris: Stoics) Usaha beliau ini telah diserlahkannya menerusi penghasilan kitab al- Mustasfa min 'Ilm al-Usul (Saripati Perundangan Islam).
Sumbangan beliau yang cukup besar dalam bidang ini yang kurang didedahkan secara detail oleh sarjana tempatan mendorong penulis untuk menghasilkan buku ini. Sumbangan bernilai beliau menghuraikan kaedah-kaedah Logik dalam kitab al-Mustasfa berasaskan pendekatan "mesra ulama" akan dibentangkan dalam buku ini. Para sarjana lebih banyak menonjolkan ketokohan beliau dalam bidang-bidang seperti al- Tasawwuf dan Pendidikan, sedangkan jikalau dilihat kepada biografinya, didapati AI-Ghazzali banyak melibatkan diri dalam bidang Logik. Banyak karya ilmiah dalam bidang ini yang dihasilkan di sepanjang hidupnya. Menyedari hakikat ini, penulis berasa terpanggil untuk mendedahkan sumbangan beliau dalam bidang ini menerusi pengamatan dan analisis terperinci terhadap karya-karya penting Logik yang telah dihasilkannya.
Rasional sumbangan terpenting beliau dalam bidang Logik diketengahkan menerusi kitab al-Mustasfa adalah berdasarkan hakikat bahawa karya tersebut merupakan karya pertama yang meletakkan Logik sebagai mukadimah perbahasannya. Kewujudan mukadimah Logik inilah yang mendorong penulis meneliti karya tersebut dengan tumpuan khusus terhadap helaian-helaian mukadimah Logiknya, yang bukan sebahagian Ilm Usul al-Fiqh. Dalam buku ini, akan diterangkan signifikannya kaedah-kaedah Logik yang dihuraikan al-Ghazzali dalam bentuk yang ringkas dalam mukadimah tersebut dijadikan pengantar bagi kitab Ilm Usul al-Fiqh.
Pendedahan tentang sumbangan al-Ghazzali dalam bidang Logik juga akan sekali gus dapat memaparkan ketokohannya yang mengagumkan dalam bidang tersebut dan juga mengetengahkan asas pemikiran Logik al-Ghazzali yang terabadi dalam karya-karya ilmiah hasilannya. Penelitian secara mendalam terhadap metodologi kajian ilmiah dan pemikiran epistemologinya boleh membantu umat Islam membina suatu budaya berfikir dan budaya kajian ilmiah yang mantap dan tersusun berasaskan roh ajaran al-Qur'an dan al-Sunnah. la juga diharapkan dapat mendedahkan kepada para ilmuwan tentang penggunaan Logik Greek yang telah disintesiskan oleh al-Ghazzali dengan disiplin ilmu Islam.
KANDUNGAN
Bab l Kedudukan Logik Menurut Pandangan Ulama
Bab2 Ketokohan al-Ghazzali dalam Bidang Logik Biodata al-Ghazzali Latar Belakang Pendidikan Penglibatan dalam Falsafah Islam Penghasilan Maqasid al-Falasifah dan Tahafut al-Falasifah
Bab3 Sumbangan al-Ghazzali dalam Bidang Logik Sumbangan dalam Pengajaran dan Penulisan Karya Logik Karya Logik dan Kepentingannya Al-Ghazzali dan Pengkritik Logik
Bab4 Logik al-Ghazzali dalam Al-Mustasfa Min 'Ilm al-Usul dan Kepentingannya dalam Perbahasan Ilmu Latar Belakang kitab Sumber-sumber Rujukan Keistimewaan al-Mustasfa Pengelasan kajian ilmu Keobjektifan perbahasan Al-Mustasfa dalam Perkembangan Pemikiran Islam Al-Mustasfa dalam Perbahasan Usul al-Fiqh Pengaruh al-Mustasfa terhadap Pemikiran Islam Metode al-Mustasfa dalam Karya Ulama Al-Mustasfa dan Pengukuhan Metodologi Kajian Ilmiah
Kesimpulan Bibliografi lndeks
|