|
Judul : Sup Untuk Santapan Rohani Remaja Pengarang : Siti Eiasah Abd Rashid & Azam Md Atan Penerbit : Utusan Publications & Distributions Genre : Kanak-kanak Mukasurat : 386 halaman Cetakan Pertama : 2006 ISBN : 9676118036
Meminjam sifatnya sup yang mengandungi pelbagai rencah, dipotong kecil, dibumbui rempah-ratus, enak dinikmati panas atau suam, juga sedap dimakan walaupun sejuk, mengenyangkan bahkan menyihatkan, maka konsep buku ini dibina. la menghimpunkan pelbagai kisah yang disampaikan dalam bentuk cerita pendek, sajak, pantun, syair, rencana, lakaran kartun, dan kata-kata hikmat. Antaranya - mengungkap kisah getir dilanda dugaan; menitipkan kisah cekal menggenggam azam; melukiskan kisah riang meraih kejayaan; menyisipkan kisah lucu mencuit hati menjentik minda, di samping banyak lagi - menjadikannya sesuai dihidangkan kepada pelbagai peringkat pembaca, khususnya para remaja, guru dan ibu bapa.
Karya-karya dalam buku ini telah dihasilkan berdasarkan pengalaman dan aspirasi warga alam persekolahan, termasuklah pengetua, guru dan mantan guru, pentadbir, dan para pelajar sendiri. Penghasilannya adalah dengan maksud menjadi pendorong emosi dan cita-cita, terapi mengatasi halangan dan dugaan, selain menghibur sambil meluaskan pengalaman. Variasi latar dan gaya, dengan latar belakang penulis yang pelbagai pula menjadi rahsia keenakan "sup" ini.
Buku ini bertunjangkan realiti kehidupan masyarakat, khususnya remaja. Apa yang dipaparkan adalah sebagai pendedahan kepada mereka dalam mempersiapkan diri ke arah penerokaan kehidupan yang semakin mencabar bagi menjadi bangsa yang berilmu, berkemahiran, kreatif, inovatif, kritis, dan produktif.
Kandungan Sup ini meliputi cerita pendek, sajak, rencana, dan lakaran kartun, yang disusun dalam sepuluh bab, iaitu Kasih Sayang, Persahabatan, Kekeluargaan, Sikap dan Pandangan, Kehilangan, Motivasi, Mengatasi Halangan, Adat dan Budaya, Membuat Pilihan, dan Keinsafan. Pembahagian bab sedemikian ialah ilustrasi kepada konsep yang dibina menerusi kompilasi Sup ini agar aspek-aspek utama dalam kehidupan remaja dapat disentuh. Gaya bahasa yang sederhana menjadikan karya tersebut mudah difahami dan menyentuh hati. Dialog-dialog kartun yang sinis serta aksinya yang kelakar mencuit minda. Latar yang digunakan bertumpu kepada desa, kota, Felda, serta persekitaran sekolah. Menerusi karya yang penuh variasi ini, diharapkan khalayak pembaca beroleh pengajaran, maklumat, juga hiburan.
Semoga buku ini akan memberi manfaat kepada khalayak pembaca sebagai menambah bahan bacaan kesusasteraan remaja, di samping membantu pemahaman terhadap dunia anak-anak remaja. Dari segi mesej, Sup ini menyajikan teguran dan kritikan membina, motivasi moral dan akademik, serta nilai kemanusiaan dalam hubungan kekeluargaan, persahabatan dan masyarakat. Dengan karya yang ringkas dan padat, serta dekat dengan kehidupan remaja, mesej dikirim untuk dipetik dan segar dalam sanubari pembaca. Diharapkan Sup ini dapat membantu remaja membina jati diri dan keterampilan, di samping sifat gigih, tabah, cekal, prihatin, tidak mudah mengaku kalah, bijaksana, dan beriman.
|