|
Judul : Teori Bahasa - Implikasinya Terhadap Pengajaran Tatabahasa Pengarang : Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir Penerbit : Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris Genre : Bahasa Mukasurat : 264 halaman Cetakan Pertama : 2005 ISBN : 9832620562
Buku ini merupakan sebuah buku pengenalan yang komprehensif dan penghuraian umum tentang bahasa, kajian bahasa (linguistik), teori huraian bahasa, teori pemerolehan bahasa, prinsip, pendekatan, kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran tatabahasa, sistem pengajaran bahasa di sekolah, dan tatabahasa Melayu.
Di samping itu disentuh juga beberapa pendapat linguis tentang pengertian bahasa, sejarah perkembangan pengkajian bahasa (linguistik) dan implikasi teori-teori huraian dan pemerolehan bahasa dalam proses pengajaran dan pembelajaran tatabahasa di sekolah rendah dan menengah. Akhir sekali diketengah secara tuntas contoh-contoh persediaan mengajar bahasa berasaskan format bahasa Melayu terkini.
Buku ini amat sesuai dan akan bermanfaat kiranya digunakan sebagai rujukan oleh pelajar maktab perguruan, mahasiswa ijazah pertama di IPT, pengkaji bahasa, guru-guru bahasa Melayu, pencinta bahasa, ahli bahasa dan juga semua golongan pembaca yang berminat dalam bidang kajian bahasa.
Antara 14 bab yang dibincangkan dalam buku ini ialah bab pertamanya memperkatakan definisi bahasa, iaitu bahasa ialah kebolehan semulajadi manusia yang berupa satu sistem simbol bunyi suara yang arbitrari, yang dipersetujui dan digunakan oleh sekelompok manusia untuk berkomunikasi. Beberapa pendapat tentang bahasa juga dikemukakan dalam bab ini.
Bab keduanya pula adalah tentang linguistik dan disiplin-disiplinnya, termasuklah hal-hal yang berkaitan dengan jenis-jenis linguistik seperti sosiolinguistik, psikolinguistik, etnolinguistik, semantik, retorik, pragmatik, semiotik, dan stilistik.
Seterusnya dalam bab ketiga, yang dibincangkan ialah sejarah perkembangan ilmu linguistik, iaitu dari zaman klasik Yunani yang bermula kira-kira 500 tahun sebelum masihi sehinggalah ke zaman linguistik moden. Manakala, bab keempat dan kelimanya berkisar mengenai teori-teori huraian , dan pemerolehan bahasa.
Bab-bab selanjutnya menjelaskan secara tuntas konsep- konsep utama, prinsip-prinsip, pendekatan-pendekatan, kaedah-kaedah dan teknik-teknik pengajaran dan pembelajaran bahasa, tatabahasa, pengajaran bahasa di sekolah dan contoh- contoh persediaan mengajar bahasa berasaskan format Bahasa Melayu terkini. Oleh itu, buku ini amat sesuai dan akan bermanfaat kiranya digunakan sebagai rujukan oleh pelajar maktab perguruan, mahasiswa ijazah pertama di IPT, pengkaji bahasa, guru-guru bahasa Melayu, pecinta bahasa, ahli bahasa dana juga semua golongan pembaca yang beminat dalam bidang kajian bahasa
|