Sejarah PEN
0 kuantiti
Total Price:RM0.00

Sejarah Penubuhan PEN

 PEN : Mengimbas Kembali Sejarah 30 Tahun Lalu

Sebelum Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) ditubuhkan menurut Ruslina Haji Sulaiman dalam Latihan Ilmiah, UKM 1988/1989 yang berjudul "Peranan dan Sumbangan Penulis-Penulis Negeri Sembilan Dalam Perkembangan Kesusasteraan Melayu Moden" bahawa telah wujud satu persatuan penulis di Negeri Sembilan yang dikenali sebagai Angkatan Sasterawan Negeri (ASAS NEGERI) pada 21 Ogos 1950. Bagaimanapun persatuan itu tidak lama bertahan kerana menghadapi masalah kepimpinan, kewangan dan sebagainya.

Lama sebelum tahun 1950 dan tanpa pertubuhan penulis telah lahir beberapa orang penulis yang akhirnya terkenal seperti Pendeta Za'ba dalam bidang bahasa dan ilmu pengetahuan, Shamsuddin Salleh dan Mohd Yusof Ahmad (novel) dan Mohd Yusof Arshad  menulis puisi.

PEN ditubuhkan pada 18 Mei 1968 di Sekolah Menengah Tunku Ampuan Durah, Seremban oleh sekumpulan 15 orang yang berminat dalam lapangan penulisan. Semasa penubuhan itu mereka telah memilih Mohd Nor Ibrahim (Yang Dipertua), Othman Hassan (Timbalan Yang Dipertua), Khalid Jamin (Setiausaha Agong), Suhor Husin (Penolong Setiausaha), Abd. Kadir Yusof (Bendahari) dan lima orang ahli jawatankuasa iaitu, Kamaruzzaman Abd. Kadir (Dharmawijaya), Norini Ali, Jaafar Mohd Yusof, Anas Maulud dan Yassin Mahmud. Sesetengah daripada mereka adalah ahli persatuan yang terdahulu.

Antara tujuan penubuhan PEN ialah untuk menyatupadukan penulis Negeri Sembilan dari segala aliran pendapat, berusaha seluas-luasnya dalam lapangan bahasa, kesusasteraan, kebudayaan dan ilmu pengetahuan, sesuai dengan kepentingan nasional dengan tidak terikat kepada dasar-dasar politik kepartian dan tidak terkeluar dari bidang undang-undang negara.

Untul melaksanakan tujuan di atas, PEN menjalankan kegiatan-kegiatan seperti berikut :

- memperjuangkan serta mempertahankan hak-hak kepentingan dan kebajikan penulis Negeri Sembilan
- menerbitkan lidah rasmi PEN dan mengusahakan penerbitan hasil-hasil karya penulis dari masa ke semasa.
- berusaha untuk mempertinggikan bakat-bakat penulis dengan jalan mengadakan kursus-kursus.
- berikhtiar mendapatkan bantuan dari penulis-penulis untuk melanjutkan latihan dalam lapangan penulisan di dalam dan di luar negeri.
- berhubung serta bekerjasama dengan badan-badan penulis di dalam dan di luar neger dan menghantar wakil-wakil persatuan ke persidangan-persidangan atau perjumpaan penulis negara atau antarabangsa.
- menjalankan langkah-langkah yang difikirkan perlu dari semasa ke semasa untuk melaksanakan tujuan-tujuan persatuan.

Pada peringkat awal persatuan ini dapat bertahan selama enam tahun (1968 - Mac 1975) di bawah pimpinan tiga orang ketua. Mereka ialah Mohd Nor Ibrahim, Alias Abd. Karim dan Jaaman Abu. Pada awal tahun 1975, Jaaman pindah ke Terengganu. Persatuan ini tidak dapat bergerak kira-kira tiga tahun (April 1975 - 1977).

Penglibatan Salim Haji Taib cuba menggerakkan PEN mendapat banyak rintangan. Antaranya ada ahli jawatankuasa yang lalu tidak berminat lagi. ADa tekanan persatuan lama hendak menguasai PEN dengan meminta syarat imej persatuan itu masih wujud. Sementara itu ada ahli Persatuan Penulis Selatan Tanah Air (PESAT) hendak menubuhkan PESAN. Begitupun akhirnya usaha itu dapat memanggil mesyuarat agung di Sekolah Kebangsaan Ampangan, Seremban.

Bagi peringkat kedua iaitu mulai awal 1978, PEN telah dipimpin oleh empat orang ketua iaitu Abd. Kadir Yusof, Zainal Abidin Md Jadi, Ismail Abd. Hadi dan Salim Haji Taib.

Pada peringkat awal, PEN menerbitkan majalah SURIA (1970 - 1975) lebih kurang enam keluaran dan sebuah antologi puisi secara stensilan (SERUNAI HATI, 1972). Pada peringkat kedua pula PEN menerbitkan media rasminya secara stensilan (SUARA KARYA, 1978-1981) sebanyak enam keluaran juga.

Selain itu terbit antologi puisi GEMA PERTAMA (1980) dan GEMA SUARA (1981), kemudian GEMA SERUNAI HATI (1981) sempena Malam Puisi Tanah Air di Port Dickson, GEMA SERUNAI HATI II (1984) sempena Hari Puisi Nasional di Sematan, Sarawak, DESIR AIDILFITRI (1985) sempena Hari Sastera di Pulau Pinang, MERAFAK SEMBAH (1987) dan SEJAMBAK KASIH (1990) sempena kunjungan para penyair Pengucapan Puisi Dunia Kuala Lumpur ke Negeri Sembilan.

Selain itu PEN juga bekerjasama dengan pelbagai pihak menjayakan projek sebagaimana berikut. Mnyiapkan cerita Sains Pertanian dalam SIRI CERITA KELUARGA PETANI, Penerbit Jeya Bakti, 1983 (Bakti Kelapa, Langsat Kuning Mencelah, Bersama Penoreh Getah, Kudin Penanam Koko, Lada Hitam Lada Putih, Dusun Durian Pandan Alang, Peneroka Jaya, Berkebun Ubi Kayu, Pak Kassim Penanam Nanas, Sayu Daun Sayur Buah, Pak Ali Penanam Tebu dan Menanti Padi Berisi).

Usaha juga dibuat mengumpul cerita rakyat Negeri Sembilan berjudul CINCIN HIKMAT, DBP, 1986, mengadakan Peraduan Puisi Remaja Darul Khusus dan diterbitkan oleh DBP berjudul TUGU CINTA I (1988) dan hasil Bengkel Penulisan Cerpen Kanak-Kanak diterbitkan oleh Fajar Bakti, 1991 dalam tiga buah antologi (Budak Ajaib, Merawat Luka dan Diari Dua Dunia). Fajar Bakti turut menerbitkan hasil Bengkel Cerpen Remaja, 1993 melalui antologi "Antara Dua Pilihan" dan "Di Sini Kasih Tertumpah". DBP pula menerbitkan hasil Bengkel Penulisan Cerpen melalui antologi "Dari Sudut Sebuah Jendela", 1984.

Hasil Bengkel Penulisan Cerpen Kanak-kanak yang dianjurkan oleh Maktab Perguruan Raja Melewar Seremban pula terhasil 12 antologi yang diterbitkan oleh Medan Karya Mekar (1996), Seremban. Antologi itu ialah "Akuarium Kura-kura", "Adik Dalam Lif", "Ular Berkepala Emas", "Jasa Mondok", "Dua Sahabat", "Kalung Hikmat", "Di Balik Tabir", "Hidup Di Dasar Laut", "Janjiku Kepada Kakak", "Kalaulah Adik Boleh", "Ketua Kelas Kenanga" dan "Sasterawan".