0 kuantiti
Total Price:RM0.00

LEPAS

 LEPAS (Lembaga Pembangun Sastera Perak)

Sejarah Ringkas

 LEPAS ditubuhkan pada 23 Mac 1951 di Central Malay School, Kuala Kangsar, Perak yang dihadiri oleh 33 orang penulis, guru-guru dan peniaga dari seluruh negeri Perak: Terdapat juga beberapa orang wanita yang hadir. Penubuhan LEPAS adalah hasil permuafakatan pemikir pendidikan Melayu dan agama. Perjumpaan dikelolakan oleh Cikgu Omar Nordin dan beberapa orang rakan. Dalam perjumpaan itu semua yang hadir telah bersetuju untuk menubuhkan satu jawatankuasa sementara: Ketua -Khalid Abas bin Adam; Wakil Ketua -Sariah binti Rashid; Setiausaha -Mohd Asri bin Haji Muda; Penolong Setiausaha -Omar Nordin; Bendahari Cikgu Ghazali bin Duyup; Jawatankuasa -Haji Abdul Samad Noh, Cikgu Habsah Rajis, Cikgu Raja Azizah binti Raja Lop, Abdullah Sani; Pemeriksa Kira-kira -Cikgu Hashim Nor, Che Nordin.

 Jawatankuasa sementara ini telah menyiapkan perlembagaannya yang dibentangkan dalam mesyuarat agung LEPAS yang pertama pada 3 Ogos 1951. Mesyuarat di Central Malay School Kuala Kangsar dipengerusikan oleh Raja Kamarulbahrin, Nazir Sekolah-Sekolah Melayu. Mesyuarat Agung LEPAS yang pertama itu membuat sedikit perubahan dalam barisan kepimpinannya. Keputusan Mesyuarat Agung LEPAS adalah seperti berikut: Ketua -Khalid Abbas bin Adam; Wakil Ketua -Hajjah Sakinah binti Djunaid; Setiausaha -Mohd Asri bin Haji Muda; Penolong Setiausaha -Omar bin Nordin; Bendahari - Mohd Daud Yatimy; Setiausaha Penerangan dan Persuratan -Cikgu A. Aziz bin Sulaiman; Setiausaha Penerbitan -Haji Fadhil Khalid; Setiausaha Syarahan dan Perbahasan -Cikgu Ibrahim; Pemeriksa Kira-kira -Cikgu Hairi, Cikgu Habsah Rajis. Mesyuarat tersebut telah memilih DYMM Raja Perempuan, Raja Taayah sebagai penaung.

LEPAS mengambil masa hampir 2 tahun untuk diluluskan pendaftarannya dan akhirnya mendapat nombor 43 pendaftarannya di Perak. Sebelum diluluskan, mereka mendapat kebenaran bergerak sementara. Dengan itu LEPAS menghantar TIGA orang wakil dan seorang pemerhati ke Kongres Persuratan Melayu SeMalaya di Sea View Hotel Singapura pada 12 dan 19 April 1952. Wakil rasmi Khalid Abbas, Mohd Asri dan Haji Fadhil Khalid, Mohd Daud Yatimy sebagai pemerhati.


 Dalam Kongres Persuratan Se-Malaya di Singapura, setiausaha LEPAS Mohd Asri telah terpilih menjadi Jawatankuasa Penyiasat mengenai tulisan rumi dan jawi yang digunakan oleh masyarakat dan jabatan-jabatan kerajaan untuk bahagian utara Malaya. Bagaimanapun Mohd Asri tidak dapat mengendalikan keseluruhannya maka di Pulau Pinang dan SeberangPerai diserahkan kepada ASAS UTAMA manakala di Kedah dan Perlis kepada Lembaga Pembangun Bahasa Melayu (LPBM).

Jawatankuasa Penasihat tersebut, ketuanya ialah Cikgu Harun Aminurrashid dan penolongnya ialah Cikgu Mahmud Ahmad, Setiausaha Kamaluddin Mohamad (Keris Mas) dan Penolong Setiausaha Ramli A. Hadi. Cikgu Buyong Adil sebagai Jawatankuasa di Borneo Utara dan Singapura. Cikgu Yusof Harun di bahagian selatan Malaya. A. Samad Idris di bahagian barat Malaya dan Che Ahmad Woojdy di bahagian timur Malaya.

LEPAS ditubuhkan 50 tahun lalu tujuannya: (I) Mempertinggi dan memperluaskan bahasa dan kesusasteraan Melayu; (2) Mempelajari dan memperdalam aliran fikiran yang membawa kepada kemajuan bangsa dan agama dengan mengadakan perpustakaan, penerbitan, perbahasan, syarahan dan sebagainya; dan (3) Memperlindungi dan mempertahankan hak serta kepentingan ahlinya. Selain itu mempunyai dasarnya sendiri: "LEPAS ini berdasarkan PERIKEMANUSIAAN". Undang- undang LEPAS ini diilhamkan 50 tahun lalu sebelum merdeka dan kini perubahan-perubahan kecil dilakukan berdasarkan perubahan semasa.

Ketika Kongres Persuratan di Singapura, LEPAS telah mencadangkan supaya ditubuhkan sebuah gabungan yang terdiri daripada badan-badan persuratan Malaya (seperti GAPENA sekarang). Wakil Kutub khanah UMNO Johor Bahru mencadangkan supaya diadakan satu lagi Kongres yang TIDAK BERPERLEMBAGAAN. Dua setengah jam diadakan perbincangan cadangan LEPAS tewas. Suara terbanyak menerima cadangan ASAS '50. LEPAS berbangga kerana Kongres yang diadakan di Johor Bahru kemudiannya menerima slogan yang dikemukakan iaitu "Bahasa Jiwa Bangsa" seperti yang diguna pakai oleh Dewan Bahasa dan Pustaka sekarang. Semasa Hari Sastera 80 yang diadakan di Perak, iaitu di Ipoh, Taiping dan Pulau Pangkor, kalangan kepimpinan LEPAS memainkan peranan penting selain IPPP. Fahmi Kassim menjadi Setiausaha 2, Yusof Bakar Pengerusi Lawatan Kebudayaan ke Taiping dan (Allahyarham) Abdul Halim bin Mat Awin Pengerusi Lawatan ke Pulau Pangkor. LEPAS menentang kuat penubuhan Ikatan Persatuan Penulis Perak (IPPP) pertengahan tahun 70-an dengan alasan LEPAS adalah badan penulis seluruh negeri Perak. Sekarang inipun Jawatankuasa LEPAS dari Kuala Kangsar, Taiping, Padang Rengas, Manong, Ipoh dan Kampar. Hanya pejabatnya di Kuala Kangsar. Ahlinya hampir di seluruh Perak. Bagaimanapun LEPAS memberi laluan IPPP menyertai GAPENA kerana menghormati rayuan Prof Tan Sri Ismail Hussein.

Dalam tahun 90-an kalangan kepimpinan dan ahli LEPAS banyak melibatkan penyertaan dalam rombongan ke luar negara bersama GAPENA iaitu Kunming -China, Madagaskar, Afrika Selatan, Mindanao -Filipina, Kalimantan Barat iaitu Pontianak, Singkawang dan Sambas, juga ke Aceh iaitu Langsa, Lhokseumawe, Sigli dan Banda Aceh. Selain dari itu, ke Moscow dan St. Petersburg di Russia, Pekan Baru, Batam, Pulau Rempang, Pulau Penyengat, Tanjung Pinang dan Pulau Daik di Riau. Semua perbelanjaan ke luar negara dibiayai sendiri. Kegiatan-kegiatan dalam negeri juga tidak pernah ketinggalan untuk penyertaan.